(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
ISLAM menganjurkan umatnya menghargai nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan melarang mencelanya. Antara nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap makhlukNya ialah makanan.
Makanan itu suatu nikmat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia perlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya.
Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut. Apakah hukum mencela makanan ini?
Larangan mencela makanan
Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin bahawa seharusnya seorang muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada.
Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya.
Dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan yang maksudnya, “Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya)” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya, “Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan.
Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.
Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ianya bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya.
Akan tetapi jika ianya bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.
Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan: “Saya tidak menyukai makanan ini” atau “Saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.
Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah dihidangkan dengan daging dhab bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya.
Khalid bin al-Walid Radhiallahu ‘anhu lalu bertanya kepada Baginda yang maksudnya, “Adakah dhab itu haram wahai Rasulullah!?” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pun menjawab yang maksudnya, “Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi (lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab yang maksudnya, “Makanlah kamu, sesungguhnya ianya adalah halal. Akan tetapi ianya bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan).” (Hadis riwayat Muslim)
Memuji makanan yang telah dimakan
Disebalik larangan daripada mencela makanan, Islam menganjurkan pula memuji makanan yang telah dimakan. Bukan sahaja dianjurkan memuji makanan, bahkan Islam turut menganjurkan untuk menyebut-nyebut apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai tanda syukur.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya, “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah adh-Dhuha, 11)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Adzkar bahawa memuji makanan yang telah dimakan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam dan merupakan suatu sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya, “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah meminta lauk daripada keluarganya, lalu mereka menjawab: Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka. Maka Bagindapun memintanya dan memakan (makanannya) dengannya (cuka), lalu Bagindapun bersabda: Sebaik-baik lauk ialah cuka, sebaik-baik lauk ialah cuka.” (Hadis riwayat Muslim)
Makanan adalah nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ianya dicela.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam merupakan manusia contoh dan ikutan terbaik yang patut diteladani. Apabila makanan yang dihidangkan kepada Baginda itu disukainya, Baginda akan memakannya dan malah akan memuji makanan tersebut walaupun yang dihidangkan itu hanyalah cuka.
Manakala jika makanan itu tidak disukainya ataupun Baginda tidak pandai memakannya, Baginda akan diam dan meninggalkannya ataupun menolaknya dengan penuh kesopanan.