Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan menipu guna nama, logo BDCB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap penyalahgunaan nama dan logo Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bagi tujuan untuk memperdaya orang ramai.

    Saranan itu dikeluarkan oleh BDCB dalam kenyataannya di sini, di mana BDCB mengambil perhatian mengenai imej sijil Shariah Compliant Banking Certificate yang kononnya dikeluarkan oleh BDCB dan memperakui pemerbadanan sebuah syarikat di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan dengan itu, BDCB mengesahkan sijil berkenaan adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh BDCB.

    Pihak BDCB menekankan bahawa sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang serupa atau menyerupai nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang bertujuan sama ada untuk memperdaya, menipu, menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan bagi memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan adalah merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah BDCB, 2010 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam hal itu, BDCB juga menasihatkan orang ramai untuk tidak berurusan dengan sebarang entiti yang tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan kewangan. Orang ramai dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen.

    Senarai institusi-institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List boleh didapatkan di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    Orang ramai dinasihatkan untuk membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran atau melalui 993 jika telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen.

    GAMBAR SERAHAN BDCB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda