Oleh Nurdiyanah R.
Bayangkan seseorang mendakwa mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit selepas terpedaya dengan tawaran membeli duit syiling lama oleh individu yang tidak dikenali. Bagaimana ia boleh terjadi?
Mungkin juga pembaca pernah menerima komen-komen di laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram, kononnya seseorang berasal dari luar negara ingin membeli wang kertas mahu pun syiling lama dengan harga yang lumayan.
Awas, jangan mudah terpedaya! Mungkin itu merupakan satu lagi taktik penipuan yang berlaku dalam alam siber yang dinamakan penipuan pembelian wang lama dalam talian atau lebih dikenali sebagai Old Money Scam.
Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat, penipu-penipu atau disebut sebagai scammer juga dilihat semakin licik mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan.
Itulah antara nasihat yang ditekankan oleh Cyber Security Brunei (CSB) terutama kepada para pengguna pelbagai platform media sosial ketika berkesempatan berkongsi maklumat bersama penulis.



Hanya berpura-pura minat
Bagi menjelaskan lebih terperinci, CSB menjelaskan bahawa penipuan dalam talian pembelian wang lama terjadi apabila seseorang iaitu si penipu berhajat menawarkan harga yang tinggi atau berpura-pura berminat untuk membeli wang kertas atau syiling lama daripada si mangsa (penjual wang nota atau syiling lama). Namun sebenarnya si penipu pula akan memanipulasi mangsa untuk membayar wang kepadanya.
“Modus operandi terjadi apabila si penipu akan memanipulasi awda untuk membayar wang kepada mereka. Misalnya, mereka akan menawarkan tawaran yang tinggi untuk membeli nota atau syiling lama dengan alasan hobi atau minat. Kemudian penjual atau mangsa akan bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan memerlukan penjual untuk menghantar barang tersebut,” menurut CSB.
CSB mengongsikan kebiasaannya selang beberapa hari atau minggu, si penipu akan menghubungi mangsa untuk memberitahu bahawa akan ada bayaran atau cukai yang dikenakan bagi membuat pembayaran pemindahan wang dan memerlukan mangsa untuk menampung kos tersebut.
Bagaimana penipuan terjadi?
Dalam pada itu, CSB turut mengemukakan gambaran lebih lanjut bagaimana penipuan dalam talian pembelian wang lama ini boleh terjadi apabila si penipu mula mengorak langkahnya setelah berjaya memancing keyakinan si mangsa dengan harga yang dipersetujui.
Jika si mangsa melayan, si penipu akan menawarkan harga yang tinggi untuk membeli nota atau syiling lama si mangsa. Kebiasaannya si penipu akan menawarkan 10 kali ganda daripada nilai yang sebenar.
Alasan mereka duit lama itu akan dijual kepada muzium, pengumpul atau bank dunia untuk mendapatkan harga yang lebih mahal dan sebagainya. Sebagai contoh, adanya posting yang berkaitan dengan penipuan ini di mana wang syiling Bank Negara Malaysia tahun 1980 bernilai 10 sen ditawarkan sebanyak RM40,000.
Lazimnya, selepas persetujuan antara kedua-dua belah pihak berlaku, si penipu akan meminta nombor akaun si mangsa dan kemudiannya akan berjanji untuk membayar menggunakan bank transfer atau telegraphic transfer kepada si mangsa. Namun mereka akan memberikan alasan bahawa bayaran tersebut tersekat kerana nilai pemindahan itu terlalu besar dan memerlukan untuk membayar cukai atau saman.
Bayangkan sehari atau dua hari kemudian, seseorang akan menghubungi si mangsa mengatakan ada masalah dengan pemindahan wang yang mana besar kemungkinan yang menghubungi si mangsa adalah daripada kalangan rakan si penjenayah berkenaan yang menyamar sebagai pihak berkuasa untuk menakutkan si mangsa agar membayar cukai atau saman tersebut. Si mangsa juga mungkin akan menerima e-mel yang mengatakan duit telah dihantar tetapi si mangsa perlu membayar sejumlah wang bayaran terlebih dahulu untuk melepaskan duit itu ke akaun mereka.
Apabila si mangsa sudah membayar ke akaun si penjenayah, maka bermulalah episod ‘wang pampasan’ yang seakan-akan tidak pernah cukup sehingga si penipu bersama rakan-rakan yang menyamar itu sering kali menghubungi si mangsa memberikan pelbagai alasan untuk memuaskan nafsu mereka demi mendapat wang lebih banyak.
Jangan sampai terpedaya!
Dalam meniti perkembangan aplikasi teknologi maya, CSB turut menyarankan semua lapisan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa agar tidak menjadi mangsa penipuan sedemikian.
Ingatlah, sesiapa sahaja boleh berpura-pura menjadi orang lain dalam talian. Jangan sesekali membuka lampiran daripada orang yang tidak dikenali. Hal ini kerana penjenayah siber akan menggunakan pelbagai cara untuk mencari mangsa di dunia siber. Salah satunya adalah menggunakan teknik malware dari lampiran e-mel dan sebagainya.
Begitu juga jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan.
Kalau kita perhatikan, beberapa tawaran yang menawarkan promosi ‘too good to be true’ untuk mencari mangsa supaya terpedaya dengan tipu helah mereka. Pastikan juga jangan berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di media sosial terutama sekali jika situasi tersebut berkaitan dengan penipuan.
Sehubungan itu, pihak CSB juga mengingatkan orang ramai akan nombor telefon yang sering digunakan bermula dengan 234 dari Nigeria; 230 dari Mauritius; 960 dari Maldives; 44 dari Britain dan sebagainya.
Namun apabila perkara ini terjadi, maka seseorang mangsa perlulah menyimpan tangkapan skrin dan surat menyurat seperti resit dan penyata bank untuk tujuan bukti dan laporkan kepada pihak polis. Laporkan akaun si penjenayah kepada media sosial yang telah digunakan dan sekat akaun si penipu serta hentikan semua komunikasi dengan segera.
Jika awda pernah membayar sebarang jumlah wang kepadanya, laporkan kepada pihak bank atau pun syarikat kiriman wang, seboleh-bolehnya 24 jam selepas pembayaran dilakukan.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab seseorang pengguna untuk sentiasa peka agar tidak terjebak dengan mereka yang tidak bertanggungjawab.

