Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Khatib menegaskan yang Islam mengharamkan segala bentuk penipuan, baik dalam urus niaga, muamalat atau dalam urusan sesama manusia.
Namun katanya masih terdapat segelintir masyarakat yang tergamak memperdaya dan melakukan penipuan dengan pelbagai helah menerusi skim penipuan kewangan semata-mata ingin mengaut keuntungan.
Antara contoh penipuan kewangan seperti penipuan pelaburan dalam bitcoin atau mata wang kripto, penipuan hartanah, skim cepat kaya, penipuan SMS loteri, penipuan cinta, pekerjaan dan seumpamanya, katanya dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Berwaspada Terhadap Penipuan Kewangan’.
Menurut khatib, penipuan dalam kewangan antara amalan penipuan yang berleluasa pada masa ini dan ia dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan sasaran mangsa penipuan biasanya daripada golongan orang yang kurang peka atau kurang celik akan tipu helah dan muslihat skim penipuan kewangan.
Khatib menekankan, sikap tamak haloba manusia yang ingin mendapat keuntungan secara jalan pintas adalah antara faktor utama yang digunakan oleh penganjur skim cepat kaya untuk mengeksploitasi orang ramai bagi menyertai skim berkenaan.
Oleh itu Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengingatkan orang ramai antara cara bagi mengenal pasti cara penipuan kewangan iaitu pelaburan atau perniagaan yang menjanjikan pulangan yang terlalu tinggi dalam masa singkat, tiada risiko atau berisiko rendah.
Selain itu, pelaburan atau perniagaan itu menggunakan nama orang yang terkenal untuk mendapatkan kredibiliti dan kepercayaan.
Pelaburan atau perniagaan itu menggunakan konsep rantaian iaitu ahli mencari ahli, selain pelaburan atau perniagaan tiada dokumen atau urus niaga yang sahih dan mantap, di samping penganjur utama skim pelaburan atau perniagaan itu tidak mempunyai alamat tetap dan tidak mudah dihubungi.
Khatib seterusnya mengingatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap apa juga bentuk tawaran skim pelaburan yang meragukan.
Antara inisiatif dan langkah berhati-hati yang boleh diambil bagi memastikan diri dan keluarga tidak tertipu dengan skim penipuan kewangan ini adalah dengan melakukan Tabayyun iaitu memeriksa dan menyemak terlebih dulu dengan pihak berkuasa seperti merujuk kepada pihak AMBD sebelum membuat sebarang pelaburan.
Khatib mengingatkan jika sekiranya merasakan diri mereka telah tertipu dan menjadi mangsa kepada taktik penipuan kewangan, segeralah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.