KUALA LUMPUR – Melihat pada perwatakannya yang ceria, sukar untuk ditelan Jenn Chia, pencipta kandungan dan pempengaruh terkenal Malaysia, pernah bergelut dengan isu kesihatan mental.
Ditemui Bernama pada pelancaran kempen Find Your Well Being anjuran pengeluar pakaian sukan mewah, lululemon di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini, wanita berusia 32 tahun itu yang juga duta jenama berkenaan, secara terbuka mengakui pernah mengalami kemurungan.
Cerita beliau, segalanya bermula apabila dunia dikenakan sekatan pergerakan gara-gara COVID-19 dan masyarakat beralih kepada dunia siber dengan media sosial menjadi pilihan utama untuk berhibur dan berinteraksi. Keadaan ini membuka peluang rezeki yang luas buat pempengaruh dan pencipta kandungan sepertinya.
Namun kata Chia, durian runtuh itu juga membawa keburukan kepada mereka, kerana sepanjang tempoh dua tahun tersebut, penggiat media sosial sepertinya berdepan tekanan bagi menghasilkan kandungan yang unik secara konsisten demi memastikan masyarakat terus terhibur dan mengikuti saluran mereka.
Ujarnya, pada masa itu, tahap stres beliau meningkat tatkala sempadan antara kerja dan kehidupan seakan tidak lagi wujud. Justeru, tidak menghairankan apabila beliau mengalami gangguan jiwa.
“Apabila rezeki datang mencurah-curah dan awda bekerja bagaikan tiada hari esok, awda berada dalam mode survival. Ketika itu awda tidak lagi endahkan emosi awda,” katanya.
“Saya rasa berdebar-debar, cemas. Tangan saya menggigil. Kemudian saya sedar bahawa saya sedang alami serangan panik akibat keletihan. Dari situlah saya sedar yang saya mengalami depresi yang teruk.”
Menggambarkan pengalaman itu sebagai ‘menakutkan’, Chia berkata beliau mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri yang menasihatinya supaya mendepani dan menangani isu tersebut agar beliau tidak terbawa-bawa dengan perasaan berkenaan.
Sedar bahawa beliau telah mengorbankan aspek lain dari segi kesejahteraannya semata-mata mahu menghasilkan kesempurnaan, Chia bertekad untuk tidak lagi mengabaikan keperluan diri.
Apabila berbicara tentang kesihatan mental, kebanyakannya berkait dengan ketidakmampuan mengurus tekanan hidup dan bukan penyakit mental. Amat mudah untuk melupakan aspek lain seperti fizikal, sosial, kerohanian dan intelektual. Disebabkan oleh kegagalan mengambil endah akan aspek terbabit, maka ramai yang begitu mudah terbawa-bawa dan sukar bertindak balas dengan baik apabila berdepan masalah hidup.
“Saya abaikan kesemua (aspek) itu dan hanya tumpukan pada kerja. Justeru, apabila tubuh saya tidak lagi dapat menerima keadaan tersebut, saya anggap itu adalah satu amaran yang membuka mata saya,” kata Chia.
KUNCINYA IALAH KESEIMBANGAN
Seperti kebanyakan perkara dalam hidup, menyeimbangkan dimensi kesejahteraan adalah amat penting bagi mengekalkan kesihatan mental yang baik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ada empat dimensi utama yang saling berkait dan boleh menjejaskan antara satu sama lain.
Satu daripada dimensi itu ialah fizikal yang tidak perlu lagi dijelaskan. Pakar kesihatan mental menegaskan kepentingan aktiviti fizikal dalam mengekalkan kesejahteraan. Banyak penyelidikan, antaranya kajian semula ‘Peranan Aktiviti Fizikal ke atas Kesihatan Mental dan Kesejahteraan’ yang diterbitkan dalam Cureus Medical Journal pada 2023, menemukan kegiatan fizikal termasuk yoga, dapat mencegah stres dan kebimbangan serta mempunyai manfaat fizikal, antaranya mengurangkan rintangan insulin dan meningkatkan kualiti tidur.
Kesejahteraan sosial bermakna mengekalkan dan membina perhubungan yang sihat, mengambil berat serta berinteraksi dengan individu lain.
Perunding psikiatri di Hospital Pakar KPJ Sentosa, Dr Mastura Rosly berkata, hal ini lebih kepada berhubung semula dengan orang yang penting dan bermakna dalam hidup kita.
“Ada individu yang mempunyai keluarga besar atau ramai kawan, namun ini tidak bermakna hubungan yang terjalin itu adalah mendalam atau bermakna,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Zoom.
Situasi ini terserlah di media sosial, iaitu ahli masyarakat saling berinteraksi namun hubungan yang terjalin itu sekadar berbasa-basi.
Kajian University of Chicago bertajuk Association of Facebook Use With Compromised Well-Being: A Longitudinal Study pada 2016 dan diterbitkan dalam American Journal of Epidemiology, mendapati penggunaan kerap media sosial berhubung kait dengan kesihatan mental yang teruk. Bagaimanapun, individu yang mempunyai kawan di dunia nyata serta rapat dan sentiasa berinteraksi dengan mereka dilaporkan mempunyai kesihatan mental yang lebih baik.
Cara berinteraksi juga penting. Ramai pengguna yang berbual secara langsung dengan orang lain melalui panggilan video atau telefon dilaporkan berasa gembira, mendorong penyelidik merumuskan bahawa perbualan sebenar adalah lebih baik berbanding sekadar pesanan teks.
Sebagai pakar media sosial, Chia tahu betapa pentingnya berhubungan secara mendalam, justeru beliau kini memperuntukkan masa untuk pasangannya serta orang tersayang.
Tegas beliau, meluangkan masa bukan sekadar berada di sisi mereka secara fizikal tetapi juga daripada segi mental dan emosi.
Berkenaan dimensi ketiga, iaitu kerohanian, Dr Mastura memberitahu Bernama agar tidak menyamakan aspek itu dengan kewarakan.
“Apabila kita bercakap tentang kerohanian sebagai sebahagian daripada proses seseorang menguruskan kesihatan mental, ini adalah tentang keterkaitan dengan orang atau benda atau alam sekitar kepada sesuatu yang lebih besar daripada awda,” jelasnya.
“Konsep altruisme, iaitu awda lakukan sesuatu bukan untuk diri sendiri tapi demi orang lain atau untuk tujuan yang lebih besar, itulah kerohanian sebenar. Tidak semestinya ritual agama itu adalah kerohanian kerana awda perlukan hubungan yang lebih mendalam.”
Intelektual pula merujuk kepada kesihatan otak. Menurut pakar kesihatan mental, amat penting bagi seseorang melakukan aktiviti merangsang mental yang memberi inspirasi dan mencabar mindanya.
KESEDARAN LEBIH BAIK
Penyelidikan terbaharu menunjukkan lebih ramai ahli masyarakat yang sedar dan menganggap kesihatan mental sebagai penting, terutama pasca COVID-19. Indeks Kesejahteraan Global 2023 yang dilaksanakan oleh lululemon di 14 negara melibatkan 14,000 responden, menemukan lebih ramai ahli masyarakat mengambil berat tentang kesihatan mental selepas COVID-19. Sejumlah 67 peratus daripada responden meletakkan kesihatan mental sebagai keutamaan teratas, namun 44 peratus berasa mustahil dapat merealisasikan kesihatan mental sebagai keutamaan teratas.
Dapatan itu dicerminkan dalam Tinjauan Global tentang Kesihatan Mental Ipsos yang turut membabitkan 500 rakyat Malaysia. Tinjauan itu mendapati rakyat Malaysia mempunyai kesedaran lebih tinggi tentang kesihatan mental berbanding kebanyakan penduduk di rantau Asia Tenggara, namun lebih rendah daripada purata masyarakat global.
Bagaimanapun akses kepada penjagaan kesihatan mental agak rumit.
Ahli Lembaga Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Prof Madya Dr Irniza Rasdi berkata rakyat Malaysia boleh mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental mereka menerusi pelbagai cara.
“Khidmat ini ditawarkan oleh hospital dan klinik kerajaan, perkhidmatan kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hospital swasta,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp serta menambah terdapat banyak talian hotline yang menawarkan bantuan seumpama.
Sekiranya seseorang memerlukan kaunseling tentang keluarga atau rumah tangga, mereka boleh ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, katanya.
Sekalipun kebanyakan rakyat Malaysia dilaporkan berkeyakinan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara, menurut tinjauan Ipsos masih ada kekangan yang perlu diatasi. Satu daripadanya ialah bilangan kaunselor atau pakar terapi yang masih rendah.
Setakat 2020, nisbah yang direkodkan ialah seorang kaunselor bagi setiap 52,000 penduduk Malaysia dan berdasarkan laporan terbaharu, angka semasa juga tidak banyak berubah.
Satu lagi halangan ialah masyarakat.
Meskipun tahap kesedaran mungkin telah meningkat dan perkhidmatan juga tersedia, masih terlalu ramai tidak tampil mendapatkan bantuan seperti yang dicerminkan oleh data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 2022. Pada persidangan kesihatan mental RJAsia baru-baru ini, DOSH mendedahkan hanya ada satu kes psikososial memerlukan bantuan pada 2022, sekalipun statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan masalah itu semakin teruk.
Pakar menyalahkan stigma yang masih tegar di Malaysia dan juga negara lain. Akan tetapi, sesetengah pakar telah mengambil langkah menyediakan kaunseling atau terapi tanpa label ‘kaunseling’ yang memalukan.
Naib Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia yang juga Ketua Pegawai Sumber Manusia MBSB Bank, Farid Basir berkata, bagi menggalakkan pekerja mendapatkan kaunseling, mereka perlu ditawarkan perkhidmatan jurulatih kehidupan atau life coach.
“Mengunjungi ahli psikologi atau mengikuti terapi adalah satu stigma dalam masyarakat kita,” katanya.
“Isu ini boleh ditangani dengan menukar nama kepada jurulatih kehidupan, kerana sebagai jurulatih, peranan mereka bukan mengubah keadaan tetapi mempermudah dan menyerlahkan potensi sebenar pekerja.”
Indeks Kesejahteraan Global 2023 mendapati 42 peratus responden merasai tekanan masyarakat agar berpura-pura gembira, sementara 39 peratus tunduk kepada norma masyarakat sekalipun kehendak masyarakat itu membawa impak negatif terhadap kesihatan mental mereka. Tinjauan juga menemukan 51 peratus tidak mendapatkan bantuan kerana faktor kos. – Bernama