Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan pandang remeh kes buli

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Perbuatan buli terutamanya di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi tidak seharusnya dipandang remeh meskipun ia masih lagi di tahap terkawal di negara ini.

    Pandangan itu dilontarkan oleh salah seorang alumni PKBN 7, Awang Mohammad Faiz Hafizuddin bin Haji Sohaili semasa ditemu bual oleh wartawan Media Permata hari ini.

    Ia berikutan video tular menunjukkan seorang pelajar lelaki dibuli di ruang sembahyang di salah sebuah sekolah di negara ini.

    Manakala dalam tinjauan online oleh Media Permata setakat jam 9 malam tadi, menunjukkan 60 peratus telah mengalami buli di sekolah, manakala 40 peratus lagi tidak pernah mengalaminya. Seramai 310 orang responden menyertai tinjauan yang akan berjalan sehingga esok.

    Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, turut menegaskan sebarang perbuatan buli atau kelakuan yang boleh mencederakan individu atau warga sekolah serta merosakkan harta benda sekolah adalah diberikan perhatian serius dan tidak dapat diterima sama sekali.

    Awang Mohammad Faiz Hafizuddin. – Gambar Salawati Haji Yahya

    Kementerian juga menjelaskan bahawa siasatan terhadap perkara tersebut telah dijalankan untuk mengenal pasti individu terlibat dan membuat penilaian terhadap insiden yang telah terjadi.

    Selain itu, pihak kementerian sentiasa komited mewujudkan suasana selamat bagi warga sekolah dan akan bekerjasama dengan pihak tertentu dalam menangani perkara berkenaan.

    Awang Mohammad Faiz Hafizuddin, seterusnya berkata, “Kita boleh saja menyalahkan banyak pihak seperti pengaruh media sosial dengan terikut-ikuti seperti yang dilakonkan atau sebagainya, atau mungkin menyalahkan ketidakcekapan pentadbiran sekolah.”

    Dalam perkara itu, tegasnya, ia sebenarnya adalah kewajipan bersama seluruh masyarakat terutamanya pihak ibu bapa dan guru-guru dalam memata-matai tingkah laku dan disiplin para remaja kitani.

    Beliau berpandangan bagi membanteras budaya negatif dalam kalangan remaja seperti kes buli ini, pihak sekolah dan kementerian-kementerian berkenaan boleh juga membuat kajian terperinci secara kolektif mengenai penyebab budaya buli untuk diterapkan sebagai suatu rumusan.

    Selain itu, ia perlu dijadikan sebagai intipati melalui subjek Melayu Islam Beraja atau sebagai subjek tambahan dalam jadual kerohanian pelajaran agama dan kesukanan.

    “Ia boleh dibuat melalui tenaga pengajar kaunseling yang sedia ada di setiap sekolah secara umum dan bukan hanya secara khusus terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin sahaja,” jelasnya.

    Manakala itu, Dayang Nyla Nabilah binti Lokman pula berpendapat, video kes buli yang tular bukanlah satu hal yang boleh dipandang remeh bahkan tindakan kekerasan melibatkan buli ini pastinya menjadi satu aib yang boleh membawa pandangan negatif dunia luar khususnya kepada masyarakat dan negara kita yang sememangnya penuh dengan nilai-nilai murni yang sewajarnya menjadi amalan dari satu generasi ke satu generasi penerus.

    “Kita tidak mahu generasi kita semakin menjadi-jadi dengan kes buli ini maka kesedaran atau kepekaan semua pihak dalam menanai tanggungjawab masing-masing perlu terus dipertingkatkan lagi dengan langkah-langkah yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, tambahnya, golongan ibu bapa atau penjaga mahu pun pihak sekolah atau institusi serta guru-guru perlu sentiasa memantau sebarang tindak-tanduk anak-anak atau para pelajar mereka.

    Di samping itu, para pelajar juga perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang isu buli secara keseluruhannya agar mereka berani tampil bersuara dengan sebarang masalah yang berlaku di sekeliling mereka.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda