Masalah anjing liar bukanlah satu masalah baharu di negara ini. Di mana-mana saja kita akan menjumpai anjing-anjing liar ini, sama ada di kawasan perumahan, premis-premis perniagaan dan sebagainya.
Dengan kehadiran anjing liar ini, ketenteraman awam agak terganggu. Terutama ketika berada di premis-premis perniagaan, di mana para pengunjung takut menghampiri kawasan tersebut kerana gangguan anjing liar. Bukan seekor dua, malahan sekawan anjing yang boleh sahaja mencederakan orang ramai.
Akhirnya orang yang berhasrat mengunjungi tempat terpaksa membatalkan niat untuk ke tempat ditujui kerana khuatir serangan anjing liar ini.
Bagi di kawasan-kawasan perumahan, anjing-anjing liar ini berkeliaran dan malah mengganggu pengguna jalan raya sehingga menyekat jalan raya dan menyukarkan pemandu kenderaan.
Saya sendiri nyaris kemalangan di kampung kerana seekor anjing liar tiba-tiba meluru di depan kereta sehingga terpaksa berhenti mengejut dan kenderaan belakang pula hampir melanggar saya.
Di mana hendak buat laporan mengenai anjing-anjing liar ini?
Seorang rakan saya bersama anaknya yang kecil dua hari lalu bercerita mereka hampir digigit anjing liar ini.
Sehubungan itu, jangan pandang remeh isu anjing liar ini dan diharap pihak relevan dapat menangani masalah ini sebelum ia jadi makin parah.
Anti-anjing liar
