LONDON, 31 MAC – Gareth Southgate memberi amaran buat England supaya tidak memandang rendah Poland pada kelayakan Piala Dunia awal pagi esok selepas penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski tidak dapat beraksi kerana kecederaan lutut.
Lewandowski dilabelkan sebagai seorang daripada penyerang terbaik dunia dan akan memberikan ancaman terhadap rekod 100 peratus England dalam kempen kali ini.
Penjaring terbanyak Poland itu akan terlepas saingan Kumpulan I di Wembley kerana kecederaan lutut yang dijangka akan mengetepikannya selama sebulan.
Menambah buruk keadaan Poland apabila Mateusz Klich, Lukasz Skorupski, Kamil Piatkowski dan Grzegorz Krychowiak semuanya diuji positif COVID-19 baru-baru ini.
Persiapan bermasalah Poland boleh memberi ancaman terhadap pasukan itu berdepan England yang menjadi pilihan untuk menang dalam kumpulan selepas menang dua perlawanan pembukaan berdepan San Marino dan Albania. Namun bos England Southgate tidak mahu pemainnya berasa senang dengan keadaan itu.
“Poland memiliki pemain yang baik dan adalah sesuatu yang naif jika memikirkan mereka tidak akan memberikan ancaman,” kata Southgate.
“Jika kami terleka hanya satu minit, ia boleh membuatkan kami menderita. Kami perlu bersedia menghadapi perlawanan, yang kami sudah lakukan. Pasukan bukan hanya membabitkan seorang pemain dan kami perlu bersedia pada tahap tertinggi.” – AFP
