RIO DE JANEIRO, 27 JUN – Penjaga gol Argentina, Franco Armani (gambar kiri) melaungkan amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak terpedaya dengan status kerdil Venezuela apabila kedua-duanya bertemu di suku akhir Copa America, Sabtu ini.
Argentina berhempas pulas sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan jemputan, Qatar pada perlawanan terakhir Kumpulan B.
Dan mereka perlu berdepan satu lagi tugas getir untuk meneruskan kemaraan iaitu melawan Venezuela yang menjadi antara dua pasukan daripada 10 pasukan bertanding bagi edisi kali ini selain Ecuador belum memenangi Copa America.
“Kami perlu menjaringkan gol, dan amat berhati-hati… bagi mengelak kejutan,” kata Armani yang juga penjaga gol kelab River Plate.
“Mereka akan merampas bola dengan pantas dan menyerang menggunakan pemain sayap mereka mereka memiliki kepantasan.”
Sebagai contoh, Armani berkata Venezuela memiliki penyerang Newcastle, Salomon Rondon yang disifatkan boleh mengawal bola dengan baik dan mempunyai pergerakan yang hebat.
Sekali pun Argentina yang juga juara 14 kali dianggap mengharungi kempen mengecewakan bagi ramai pengkritik bagi edisi kali ini, Armani percaya skuad itu terus menampilkan peningkatan.
“Kami memulakan Copa kali ini dengan buruk dan semakin baik. Perlawanan demi perlawanan kami mula meraih keyakinan.
“Kami kembali menjadi pasukan yang sepatutnya dan prestasi kami baik menuju ke pertemuan suku akhir,” katanya. – AFP