Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman menekankan untuk menyesuaikan kebiasaan cara ziarah-menziarahi semasa Hari Raya ini kerana dunia masih diselubungi situasi pandemik.
Penyesuaian itu titah Baginda lagi, perlulah disambut secara sederhana sahaja bukan secara besar-besaran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengingatkan bahawa suasana Hari Raya bukanlah sebab atau alasan untuk meringan-ringankan tugas dan tanggungjawab sebagai jentera kerajaan.
“Adapun bekerja dengan gigih dan tekun adalah merupakan suatu ibadat dan amanah yang dituntut oleh agama.
“Oleh itu, janganlah ia diabaikan kerana mengikutkan emosi semata-mata. Sudah biasa berlaku setiap tahun bahawa terdapat pejabat yang kosong atau hampir kosong kerana pegawai dan kakitangannya keluar berhari raya pada waktu bekerja.

“Beta mahu agar kebiasaan yang tidak bagus itu janganlah ia berpanjangan atau sampai jadi budaya yang merugikan kerana ia bukan sahaja menyalahi peraturan, bahkan juga agama dan sebagai umat Islam kita perlu membetulkan kesilapan seperti ini daripada berpanjangan,” tekan Baginda.
Terdahulu Baginda bertitah kedatangan Syawal wajar disyukuri oleh semua umat Islam kerana ia merupakan hadiah berharga daripada Allah SWT kepada hambaNya setelah berjaya menunaikan kewajiban berpuasa dengan sama-sama menyambutnya dengan takbir dan tahmid mengagungkan Allah.
Baginda menekankan antara nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada Negara Brunei Darussalam ialah keadaan selamat sehingga mengizinkan kita untuk dapat menunaikan sembahyang Sunat Tarawih berjemaah dan juga bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah pada tahun ini.
“Pada Syawal pertama pula kita akan berkunjung ke rumah-rumah Allah untuk menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri. Keadaan yang mengizinkan ini sudah setentunya akan menambahkan lagi keceriaan dan kegembiraan kita menyambut Hari Raya.”
Namun begitu, tegas Baginda, langkah berhati-hati masih menjadi keutamaan tidak terkecuali dalam suasana berhari raya dengan garis panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tahun ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya di samping garis panduan dan nasihat yang lain.
Baginda turut menasihatkan penduduk di negara ini untuk tidak mengabaikan keselamatan dan kesihatan termasuk bagi pengguna-pengguna jalan raya dalam masa meraikan hari yang mulia ini dengan meningkatkan langkah-langkah berwaspada dan mematuhi undang-undang.