Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan Panik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik secara tidak rasional dan menimbun (hoarding) barangan keperluan rumah, makanan termasuk beras, topeng muka dan pembersih tangan berikutan pengumuman kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam oleh Kementerian Kesihatan pada 9 dan 10 Mac lalu.

    “Berlakunya kejadian-kejadian di mana sebilangan orang ramai membuat pembelian panik (panic buying) dengan membeli keperluan-keperluan rumah dan makanan termasuk beras dalam jumlah yang banyak. Antara lainnya perkara ini telah mengakibatkan stok beras di pasar raya-pasar raya telah kehabisan atau semakin berkurangan.”

    Seruan dan nasihat itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Kementerian Kewangan dan Ekonomi, jelasnya lagi, juga ingin mengesahkan bahawa simpanan beras di Jabatan Perbendaharaan adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan bagi semua jenis beras yang dibekalkan oleh jabatan berkenaan.

    “Pada masa yang sama, Jabatan Perbendaharaan boleh mendapatkan jumlah belian tambahan daripada pihak pembekal jika diperlukan. Dari itu, orang ramai adalah dinasihati untuk tidak membeli beras dalam kuantiti yang banyak yang melebihi keperluan yang lazimnya.”

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua pada Sidang Media Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai untuk menghormati catuan jika ada dilaksanakan oleh sebahagian peniaga sebagai langkah sementara memandangkan barangan makanan asasi dan barangan keperluan adalah dalam permintaan yang tinggi pada masa ini.

    Beliau juga menyatakan perkara yang sama berlaku bagi pembelian topeng muka dan pembersih tangan sehingga harga naik mengejut.

    “Orang ramai hendaklah bertimbang rasa kepada pengguna lain yang lebih memerlukan seperti mereka yang tidak sihat dan memerlukan barangan yang tertentu, caregiver dan frontliner bagi membolehkan mereka mendapatkan barangan yang diperlukan.”

    Dalam pada itu, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (DCCA), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan sentiasa memantau harga topeng muka dan pembersih tangan bagi memastikan amalan perniagaan yang beretika sentiasa dijalankan.

    Sehingga kini, DCCA telah menerima 31 aduan pengguna yang berkaitan dengan harga topeng muka dan pembersih tangan yang dinaikkan harga.

    Sebarang isu pengguna boleh dikongsikan kepada Hotline Pengguna 24 jam di bawah Talian Darussalam 123.

    Terdahulu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong memaklumkan bahawa Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani COVID-19.

    Bagi tujuan itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa Pusat Perkampungan Sukan di Berakas, telah disediakan sebagai Pusat Kuarantin untuk menempatkan kontak yang dikenakan Perintah Kuarantin.

    “Mereka itu akan di kuarantin di tempat itu selama 14 hari dengan diberikan kemudahan-kemudahan yang biasa termasuk makan dan minum,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda