Baru-baru ini saya ke kawasan Gadong untuk membeli-belah. Sebagaimana yang diketahui, terdapat laluan lintasan zebra disediakan di kawasan tersebut untuk memudahkan orang awam melintasi jalan raya.
Namun, meskipun laluan tersebut disediakan tetapi keselamatan pejalan kaki masih membimbangkan. Ini kerana seperti mana yang saya alami sendiri, pemandu kenderaan di kawasan tersebut tidak memberikan laluan untuk pejalan kaki yang menggunakan lintasan tersebut. Di mana, ketika itu nyaris seorang pemandu melanggar sepasang warga emas kerana memandu laju ke depan tanpa memberhentikan keretanya.
Kami yang berada di lintasan tersebut berteriak memarahi pemandu tersebut malah pemandu tersebut memberikan kami isyarat tangan tanda lucah. Kenapa perlu ego dengan kesalahan sendiri? Kalau berlaku kemalangan, adakah pemandu bertanggung jawab? Sedangkan ia sanggup memandu laju tanpa menghentikan keretanya, tidak mustahil dia juga tidak akan bertanggung jawab jika berlaku kemalangan.
Di harap para pemandu di kawasan sana janganlah memandu secara laju dan mementingkan diri sendiri. Bila berhampiran dengan lintasan zebra perlahankan kenderaan dan berhenti jika ada pejalan kaki yang melintas. Kawasan tersebut kawasan awam dan bukan sesuka hati memandu tanpa memikirkan keselamatan orang lain.
Pejalan kaki
