Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan putus asa, yakin dengan ketentuan Allah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Umat Islam diingatkan apabila menghadapi masalah, ditimpa kegagalan atau kesukaran dalam kehidupan sama ada keinginan atau harapan yang tidak kesampaian atau tercapai, janganlah mudah menyerah kalah dan berputus asa.

    “Kita hendaklah yakin dengan ketentuan Allah dan hikmah di sebalik ketentuan tersebut yang akan melahirkan sifat sabar dan reda.

    “Justeru, kita kuatkan rohani atau hati kita dengan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Hati dan rohani yang baik pasti yakin dengan ketentuan Allah dan hikmahnya akan mengatur mental dan fizikal bertindak sebaiknya dalam apa jua keadaan dan suasana,” ujar khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Jangan Berputus Asa’.

    Khatib turut menjelaskan Allah SWT telah mengurniakan kita akal fikiran yang cukup sempurna, kita hendaklah berusaha dan berikhtiar memikirkan cara dan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu perkara ataupun permasalahan.

    Menurutnya, semua manusia yang hidup di dunia ini pasti tidak akan terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada hakikatnya, Allah SWT sentiasa menguji setiap hamba-hamba-Nya dengan pelbagai ujian yang kadang-kadang tidak seiring dengan keinginan kita.

    Antaranya seperti kegagalan, kesempitan, krisis dan sebagainya. Semua itu adalah semata-mata untuk menilai tahap keimanan dan keyakinan seseorang itu terhadap sesuatu yang ditakdirkan-Nya.

    Justeru, hanya manusia yang lupa kepada kekuasaan dan keagungan Allah SWT sahaja yang akan melahirkan perasaan putus asa.

    “Adapun antara faktor yang menyebabkan orang berputus asa itu ialah terjerumus dalam perkara-perkara dosa dan maksiat. Apabila diri tergelincir dalam perkara-perkara dosa dan maksiat, maka janganlah kita sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah SWT kerana rahmat Allah SWT itu lebih luas dari kemurkaan-Nya. Tidak kira sebesar mana pun dosa yang telah kita lakukan, kesemua dosa tersebut akan diampunkan oleh Allah SWT,” ujarnya.

    Khatib terus mengingatkan faktor lain lagi yang menyebabkan orang berputus asa itu ialah apabila ditimpa musibah seperti penyakit kronik atau sakit yang berpanjangan dan tekanan hidup iaitu tekanan sosial, emosi dan ekonomi seperti masalah perniagaan, pekerjaan, pelajaran, hutang piutang, rumah tangga dan seumpamanya dan jika tidak ditangani dengan sebaiknya, boleh menjadikan mereka berada di dalam keadaan yang teruk dan memberi kesan terhadap kesihatan mental dan juga fizikal seperti kemurungan yang melampau.

    “Masalah yang datang dalam kehidupan kita sering kali menyebabkan kita bersikap tidak rasional dan membuat keputusan kurang bijak sehingga terlupa akan keagungan dan kebesaran Allah SWT,” tekannya.

    Sesungguhnya Allah SWT dan Rasulullah SAW, katanya, telah memberi amaran dan peringatan yang sangat jelas di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Baginda Rasulullah SAW mengenai kesan buruk berputus asa dengan rahmat Allah SWT antaranya pertama, tergolong dalam kalangan orang yang kufur kepada Allah SWT; kedua, tergolong dalam kalangan orang yang sesat dari jalan kebenaran; ketiga, tergolong dalam kalangan orang yang tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk dan keempat, tergolong dalam kalangan orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah SWT,” tegas khatib.

    Di samping itu, beliau juga menyarankan untuk mendapatkan nasihat dan bantuan daripada orang boleh dipercayai yang sedia menolong meringankan beban atau jika masalah semakin serius, berjumpalah pakar yang boleh memberi pandangan dan bantuan.

    Melalui perkongsian, sedikit sebanyak beban dapat dikurangkan atau ada jalan bagi penyelesaian.

    “Perlu diketahui dan disedari, bahawa setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

    Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hamba-Nya,” jelasnya.

    Di akhir khutbah, beliau menyatakan sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Oleh yang demikian, ajar dan didiklah hati kita untuk sentiasa bersangka baik pada ketetapan dan ketentuan Allah SWT kerana Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda