Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan rosakkan ibadah puasa

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dalam menunaikan ibadat puasa, terdapat sebilangan orang Islam yang kurang peka kepada hukum-hakam puasa dan menunaikannya hanya kerana mengikut kebiasaan tanpa menghiraukan dan mengetahui hal-hal penting.

    Ini seperti rukun puasa, syarat wajib puasa, syarat sah puasa, waktu berpuasa, perkara yang membatalkan puasa, perkara sunat dalam berpuasa, adab ketika berpuasa dan sebagainya.

    “Untuk mencapai kesempurnaan ibadah puasa itu, kita dituntut untuk mengetahui dan memahami tentang perkara yang berkaitan dengan puasa kerana kita tidak mahu puasa yang ditunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata,” kata khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Laksanakan Ibadah Puasa dengan Sempurna.

    Selain itu, katanya, orang yang berpuasa itu dituntut untuk meninggalkan perkara keji dan sia-sia yang boleh merosakkan ibadah puasa mereka seperti berdusta, mengumpat, berbantah-bantah, bertengkar, mengeji atau mencela, melakukan fitnah atau mengadu domba, memandang sesuatu dengan syahwat, berkata sia-sia dan seumpamanya.

    “Menghindari perkara ini sebersih-bersihnya mungkin sulit bagi sesetengah orang, sewaktu kita terlanjur segeralah memohon keampunan kepada Allah,” katanya.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selain menghindari perkara yang merosakkan ibadat puasa, kita juga digalakkan untuk melakukan sebanyak yang mungkin amalan sunat yang antaranya amalan bersahur, kerana sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk berpuasa pada siang hari, malah mengandungi keberkatan.

    Manakala pada malam harinya pula dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amalan sunat seperti sembahyang sunat tarawih, memperbanyakkan membaca Al-Quran, sembahyang tahajud dan bermacam-macam lagi.

    Khatib turut mengingatkan, walaupun dalam keterujaan kita memperbanyakkan amal ibadah sama ada pada waktu malam atau siang, jangan sampai mengabaikan perkara asasi seperti kerja pejabat.

    Sesungguhnya, ibadah puasa itu boleh membentuk ketakwaan, kuat berusaha dan kerajinan dalam perbuatan mahupun pekerjaan dan bukan kelemahan, kemalasan dan alasan untuk lari daripada tanggungjawab.

    Tidak dinafikan, dengan berpuasa sedikit sebanyak akan mengurangkan tenaga tubuh badan disebabkan tidak makan dan minum pada siang hari.

    Namun, hal ini bukanlah merupakan alasan untuk bersikap tidak produktif, bermalas-malas dan menghabiskan masa dengan banyak tidur, melakukan aktiviti yang melalaikan dan sia-sia seperti melayari media sosial secara berlebihan, bermain game dan menonton program hiburan harian sepanjang hari agar tidak terasa letih menjalani puasa.

    Khatib seterusnya menyeru untuk meluangkan masa menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan de-ngan amalan yang sepatutnya dilakukan pada bulan Ramadan iaitu dengan menambah dan mempertingkatkan amal ibadah, membaca ayat suci Al-Quran, berdikir dan memperbanyakkan doa ketika berpuasa kerana Ramadan ini hanya hadir sebagai tetamu, sekali dalam setahun.

    Apabila Ramadan tiba, tambah khatib, para peniaga akan mengambil peluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih, Islam tidak melarang umatnya mencari rezeki, bahkan menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan.

    Namun, beliau mengingatkan bahawa di dalam perniagaan ada adab dan batas-batas, jangan kerana berniaga dan ingin mendapatkan keuntungan lebih, seseorang melakukan kesilapan seperti meninggalkan sembahyang disebabkan terlalu sibuk, bercakap bohong atau menipu demi melariskan barang jualan.

    Ibadah puasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib ditunaikan, umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara kesempurnaan agar diterima Allah.

    “Umat Islam yang berpuasa hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan ini dengan menghindar dan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan yang boleh mencacatkan ibadah puasa tersebut,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda