Jangan runtuhkan perpaduan dua negara kerana pengaruh ekstremis

NAKHON SI THAMMARAT, Selatan Thailand, 9 Jan – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan umat Islam mengambil serius pengaruh golongan ekstremis yang mampu meruntuhkan perpaduan antara negara.

Baginda bertitah perjuangan golongan pelampau tersebut hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi tanpa mempedulikan perpaduan umat Islam.

“Umat Islam hari ini perlu sedar mengenai isu ini dan berusaha menjadi umat yang berkualiti dalam semua aspek kehidupan,” titah baginda pada pertemuan dengan masyarakat Islam di Pusat Islam Nakhon Si Thammarat di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah hubungan kebudayaan dan sejarah antara Perlis dengan Nakhon Si Thammarat yang terjalin erat, mesra dan kukuh hendaklah dipelihara.

Menurut baginda menerusi ‘tasamuh’ iaitu toleransi atau tolak ansur, akan berlaku penyatuan yang pelbagai yakni perpaduan dalam perbezaan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga, kanan) berkenan menyaksikan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada kanak-kanak penduduk Pulau Panyee ketika menziarahi mereka semalam. – Bernama
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga, kanan) berkenan menyaksikan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada kanak-kanak penduduk Pulau Panyee ketika menziarahi mereka semalam. – Bernama

“Umat Islam tidak boleh hilang punca dan hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan sunah apabila menghadapi kebuntuan. Segala perancangan pembangunan dan kemajuan berjalan lancar jika umat Islam bersatu padu,” tambah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah umat Islam di seluruh dunia juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang sahih dalam menghadapi cabaran, perubahan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi yang mentafsirkan Islam mengikut fahaman berbeza. – Bernama