Penyediaan tempat letak kereta khas, satu perkara sangat mustahak bagi golongan orang kelainan upaya (OKU).
Dengan penyediaan tersebut setentunya memudahkan mereka mendapatkan ruang letak kereta yang strategik dan hampir dengan pintu masuk utama sesebuah premis atau laluan untuk berkerusi roda.
Bagaimanapun, perkara ini kurang diambil perhatian oleh sesetengah orang awam kerana ada yang menyalahgunakan letak kereta khas itu dengan alasan letak kereta itu kosong, tiada kehadiran OKU dan tiada letak kereta lain yang kosong. Apa yang menyedihkan lagi sesetengah pemilik kedai menggunakannya sebagai tempat pemunggahan barang.
Namun wajarkah sebagai pengguna yang sempurna menyalahgunakan ruangan berkenaan demi kepentingan sendiri? Perkara ini bukanlah satu perkara yang baharu, malah sesetengah orang sudah menularkan di laman-laman media sosial tentang perilaku pengguna tidak bertanggungjawab ini namun hanya dapat diibarat ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.
Setentunya dengan situasi begini, sesuatu yang agak menyedihkan kerana segelintir pihak tidak menghormati golongan OKU.
Meskipun ruangan khas berkenaan kosong, pengguna selain golongan OKU tidak berhak meletakkan kenderaan mereka di sana kerana kita tidak tahu bila pemandu OKU akan memerlukan ruangan berkenaan.
Sehubungan itu, mungkin pihak relevan sudah boleh mengenakan denda ke atas mereka yang menyalahgunakan tempat ruangan khas berkenaan. Sekiranya ada peraturan yang ditetapkan, adalah lebih baik untuk kita sama-sama mematuhinya bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Zaleha







