Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan sebar luas perkara tidak sahih

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa mesej yang tular di laman media sosial baru-baru ini, mengenai seorang bekas pesakit COVID-19 (kes positif) menghadiri majlis rumah terbuka dan kemudiannya disahkan positif semula dan seluruh ahli keluarga hadir pada majlis itu dipanggil untuk menjalankan ujian COVID-19 adalah tidak benar serta telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menasihatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas dengan mesej tular yang palsu
    berkenaan.

    “Setakat ini, seperti mana yang dimaklumkan tadi, tidak ada kes jangkitan COVID-19 baharu didapati di Negara Brunei Darussalam,” tegasnya lagi, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat serta berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media sosial tanpa memastikan kesahihannya.

    “Seterusnya, orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh kementerian ini.”

    Yang Berhormat Dato berkata lagi, “Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.”

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda