AKU berjalan melintasi taman. Sunyi.. gelap. Aku telan air liur sambil mengosongkan fikiran. Beristighfar banyak di dalam hati. Sampai saja di dalam kelas di mana setiap pelajar asrama harus mengulang kaji, aku cepat-cepat mengambil tempat sambil tersenyum kepada beberapa orang kawan yang lain.
Aku dapat merasa kelainan malam ini. Malam yang sunyi.. malam yang penuh dengan pelbagai rasa. Aku pandang sekeliling.. aku terpandang padang sekolah yang gelap gelita. Sekali imbas aku terperasan seorang perempuan. Aku kalih pandangan sekali lagi tapi malangnya tiada. Mungkin perasaan aku saja. Tiba-tiba terasa… hembusan di tepi telinga aku. Serta-merta bulu roma aku menegak. Aku telan air liur.. cepat-cepat aku membaca ayat Kursi supaya tiada perasaan takut menyelubungi aku. “Arggggh!”
Aku kalih pandangan kepada Nina, dia kelihatan sangat takut sambil menutup muka dengan kedua belah tangannya. Aku cepat-cepat mendapatkan Nina. Belum sempat aku bangun Nina sudah mengilai ketawa. Aku pandang sekeliling. Kelas yang menempatkan 20 orang pelajar sunyi sekali, jelas mereka ketakutan. “Na..na..na…na..” suara Nina mengalun merdu, gayanya seperti menidurkan seorang anak damit.
Tepat pandangan Nina ke mata aku. Cepat-cepat aku kalihkan pandangan. Takut! Rasa seperti mahu larikan diri sahaja. Berulang kali aku membaca ayat Kursi entah betul entah tunggang langgang pun aku tak pasti. Tiba-tiba Nina menangis, tangisannya kuat sekali hingga menyebabkan beberapa pelajar menjerit sama. Aku kaku. Rasa seperti menontan wayang cerita hantu pula. “Allahuakbar!” warden dari asrama lelaki yang merupakan ustaz sekolah aku melaungkan azan, Ustaz Suhaimi.
Cikgu Salma juga warden asrama perempuan memegang erat Nina. Manakala ketua asrama dan beberapa orang temannya memegang beberapa pelajar yang menjerit tadi. Nina mengelupur minta dilepaskan. “Tolong cikgu!” Cikgu Salma meminta pertolongan aku.
Aku terus duduk sebelah Nina sambil memegang bahu dan tangan kanannya. Aku dapat rasakan kekuatan Nina lain macam. Patut la Cikgu Salma yang berbadan saiz XL pun tak mampu nak memegang Nina yang bersaiz S. Aku tahu mata Nina tepat memandang aku sambil terseyum. Aku buat-buat tidak perasan. Ya Allah cepatkanlah semua ini. Bibir aku tak henti-henti menyebut perkataan Allah. “Jangan sebut namaku.” Nina memandang aku. Aku tahu itu bukan Nina kerana suaranya berlainan sekali. “Jangan sebut nama aku!! Jangan panggil aku!!” Nina meronta-ronta minta dilepaskan.
Aku mahu saja melepaskan Nina dan berlari masuk ke asrama. Menyelubungi diri dengan selimut. Sungguh aku takut. Kalau la bukan kerana Cikgu Salma sudah tentu aku cabut. Rontaan Nina semakin kuat, hinggakan pegangan Cikgu Salma pun terlepas. Nina meluru ke arah aku. Matanya dijegilkan besar. Merah menyala. “Jangan panggil aku! Jangan panggil namaku!” bahuku dicengkam kuat.
Hampir menangis aku jadinya. Bukan kerana sakit tapi kerana aku ketakutan. Mata Nina menikam aku. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! tak habis-habis mulut aku melaungkan nama penciptaku. Hampir saja aku terkucil di dalam seluar. “Allahuakbar!” Ustaz Suhaimi memegang hujung kaki Nina. Aku hanya tersandar di dinding. Sungguh ini kali pertama situasi begini terjadi pada aku. Hanya Tuhan yang tahu.
Setelah selesai kesemuanya, Nina diusung ke rumah warden Cikgu Salma. Aku masih terpaku. Seketika kemudian aku dipanggil oleh Cikgu Salma dan Ustaz Suhaimi. “Tikah, Kenapa jadi macam ni?” ayat pertama Cikgu Salma padaku. Aku geleng kepala, sungguh aku tak tahu. “Ada kamu buat apa-apa yang boleh mendatangkan kemarahan dari alam lain?” Ustaz Suhaimi pula berkata. Lain macam saja ayat Ustaz kali ni. “Tak ada Ustaz, betul saya tak tahu apa-apa.” jujur aku katakan, aku memang tak tahu apa-apa. “Baiklah kamu boleh pergi.”
Pagi tu kecoh dengan cerita Nina kena histeria, malam semalam jugak keluarga Nina bawa dia balik. Aku rasa masih tak sedap hati bila ada cakap-cakap yang mengatakan akulah punca Nina terkena histeria semalam. Namun aku sikit pun tak terasa kerana siapa yang ada semalam yang tahu kisah sebenar. Dan Ustaz Suhaimi tidak membenarkan sesiapa membuka mulut mengenai hal semalam. Malam itu selepas sembahyang Maghrib di surau, aku bergegas ke asrama kerana tertinggal Surah Yasin di dalam laci.
Aku tekan punat lampu. Laaa kenapa tak nak menyala ni? Nasib baik lampu luar di koridor tidak membuatkan bilik gelap sangat. Kakiku melangkah perlahan berhati-hati takut tersadung. “Tikah..Tikah..” Aku telan air liur tu macam suara Nia aja. “Nia kau ke tu?”
“Tikah tolong aku Tikah..tolong,” Aku berjalan merapati Nia yang duduk di atas katil tingkat atas. “Tikah apa yang lama sangat ambil surah Yasin tu?”
Aku pusing mengadap pintu. Cerah lampu terpasang dan aku nampak Nia di muka pintu, habis dengan aku bercakap dan minta tolong tadi siapa? Bukan Nia ke? “Errr..tadi bukan ke kau….” Belum sempat aku nak habis cakap cepat Nia tarik tangan aku. Masa dekat makmal nak melintasi surau tiba-tiba aku tak sedap hati. Terasa lain macam sangat malam ni. “Nia kau ada rasa apa-apa tak?”
“Kenapa kau rasa nak period ke?”
“Hish tak la.. aku rasa macam lain macam sangat malam ni.. rasa macam.. ada yang tengah tengok kita..”
“Kau ni buat aku seram je la.”
Tiba-tiba langkah kami terhenti bila ada sesuatu yang melintas, aku pandang Nia, Nia pandang aku dan masing-masing terdiam. Kami memandang ke bawah bila terdengar ada bunyi benda mengesot. Ya Allah! Terus Nia terjerit-jerit, aku kaku, badan aku mengeras, terus Yasin di tangan terlepas. “Arghhh!” aku terjerit sama. Matanya bulat, besar dan merah.. baunya begitu hanyir sekali…baju putihnya penuh dengan kotoran tanah.. rambutnya kusut. “Tikah..Tikah..jangan panggil namaku…”
Lagi aku ke belakang, lagi dia menghampiri.. hingga muka kami terpisah 4 inci. Kepalanya terliuk lentok kiri dan kanan memandang aku. Aku dapat merasai kukunya yang panjang memegang pipi ku. “Tikah..Tikah..” berkali-kali nama aku dipanggil. Aku terjerit minta dilepaskan… kaki dan tangan ku terkunci. Hanya satu yang aku ingat iaitu Allah.. aku takbir berulang-ulang. Hingga suasana gelap, panas dan hanyir.
Sejak kejadian itu aku diberi cuti selama seminggu oleh pihak sekolah, duduk di rumah sedikit sebanyak melegakan resah yang melanda aku. Aku pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara aku, Nina dan Nia, mungkin secara kebetulan atau ada yang memanggil. Ibu dan ayah keluar bekerja. Maka tinggallah aku di rumah seorang diri. Adik-adik pulak ke sekolah petang nanti baru pulang. Ibu nak suruh makcik Bedah jaga aku di rumah tapi aku menolak sebab aku rasa kejadian malam tu mungkin kebetulan saja.
Laptop di dalam bilik aku buka dan aku cari Folder Korea. SNSD 1st Japan Tour in Tokyo aku buka.. seronok juga layan konsert macam ni. “Kakak..” Dari bayangan laptop aku nampak kelibat adik aku. Aku pusing belakang. Aik macam suara Qalesya adik aku tapi orangnya tak ada. “Kakak..hihi..” Kelibat kanak-kanak berlari di belakang aku. Aku pusing dan…
“Kakak.. jom main..”
“Ibu.. tolong ibu…” aku berlari ke tingkat bawah.
“Tikah..Tikah..jangan lari Tikah..tunggu..”
“Tolong la jangan ganggu aku.. tolong la…” aku menangis tersendu-sendu… takut campur marah. Marah sebab kenapa aku yang jadi mangsa kenapa aku yang kena? Kenapa aku yang kau cari?
Cepat-cepat aku dapatkan telefon rumah dan nombor ibu cepat aku dail. “Ibu tolong kakak ibu.. kakak takut.. ibuuu kakak nak lari..”
“Ibu balik sekarang.”
“Tikah… Tikah..” aku menyorok di celahan sofa. “Tikah.. kenapa kau panggil aku.. kenapa kau puja aku…” Sunyi. Aku keluar dari celahan sofa… terintai-intai aku seketika.. elok aku nak berpaling ke belakang dan….Pengsan!
“Ibu.. Nina telefon… dia nak jumpa Tikah..” aku duduk di sebelah ibu. Tengah hari tu lepas pengsan ibu terus bawa aku jumpa pengamal perubatan Islam. Katanya aku telah memberi makhluk itu makan dan sejak itu dia tercari-cari aku dan menganggap aku tuannya. Aku jadi keliru, setahu aku tidak pernah memuja atau memberi makan sesiapa.
“Bila tu?” ibu tanya lagi. “Tak tahu.. mungkin petang ni, Tikah tak sedap hati la ibu.”
“Banyak-banyakkan baca ayat kursi dan jangan lupa sentiasa berwuduk.”
Petang itu Nina bersama ibu bapanya tiba di rumah aku. Terkejut aku melihat wajah Nina yang sangat kurus dan pucat. “Aku nak minta maaf.” Nina terus peluk aku. “Kenapa dengan kau ni?”
“Aku dah banyak buat salah dekat kau, aku yang sebenarnya puja benda tu.”
“Apa kau cakap ni?”
“Mari aku ceritakan…” Aku bersama ibu dan ayah mendengar cerita yang keluar dari mulut Nina.
“Sampai hati korang,” air mata aku sapu dihujung mata. “Aku minta maaf, Nia ICU di hospital, keadaanya kritikal lepas jatuh bangunan, aku tak nak terima nasib yang sama, aku minta maaf.”
“Sungguh aku takut.. aku tak tahu apa-apa. Aku tak nak mati,” Nina merayu melutut dekat aku. “Aku tak nak mati bodoh! Aku tak nak mati!” tiba-tiba Nina ketawa.
Ibu dan ayah aku serta kedua orang tua Nina tergamam. “Kenapa sebut namaku! Kenapa panggil aku?”
“Nina mengucap Nina, mengucap,” Tanpa mempedulikan sesiapa, Nina terus berlari keluar dai rumah dan menuju ke jalan besar, tanpa memandang kiri dan kanan, Nina terus melintas “Bommm!” Treler panjang telah melanggar Nina. Lepas ni gilian aku…
“Ayah.. kakak tak nak mati, kakak tak salah,” Ayah membaca ayat Kursi dan beberapa ayat lain di telinga aku. Aku terduduk lemah sambil menangis.
Aku berulang-alik berubat di pusat rawatan Islam. Nina dan Nia telah selamat menghadap Illahi. Perlahan-lahan aku telah pulih, aku ditukarkan ke sekolah biasa dan aku masih lagi di bawah pengawasan ibu dan ayah, pergi dan balik aku berjemput. Namun, kejadian itu aku tidak dapat lupakan hingga bila–bila. Hanya pada Allah aku berserah.