(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Perbuatan menzalimi hak sesama manusia merupakan satu perbuatan tercela yang sangat ditegah oleh syara‘. Seorang muslim yang meyakini hari pembalasan semestinya berusaha menjauhi perbuatan seumpama itu kerana mengharapkan kesudahan yang baik di akhirat kelak.
Pastinya dia mahu menemui Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam keadaan suci bersih, bebas daripada segala tuntutan yang belum selesai terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun tuntutan hak hamba-hambaNya.
Terdapat perbezaan jelas di antara tuntutan hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan tuntutan hak sesama manusia. Hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala boleh ditunaikan dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga sangat pengasih dan penyayang di mana segala dosa, melainkan syirik, boleh diampunkanNya dengan cara bertaubat.
Berlainan halnya dengan tuntutan hak sesama manusia. Ini kerana hak tuntutan sesama manusia hanya dapat diselesaikan sesama mereka. Tambahan pula, manusia berbeza sifat antara satu dengan yang lain, ada yang pemaaf dan ada pula yang sebaliknya. Mungkin dia boleh bermanis muka serta bergaul mesra dengan kita, padahal dalam hatinya masih bersarang api kemarahan, rasa benci dan sakit hati.

CUAI MEMBAYAR HUTANG: BAHANA DAN BAHAYANYA
Salah satu perkara yang dianggap sebagai kezaliman terhadap hak sesama manusia ialah perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang. Sama ada dia melengahkan membayar hutang sedangkan dia mampu membayarnya, atau dia langsung tidak berusaha serta langsung tidak ada keinginan untuk melunaskan hutangnya itu. Kezaliman seumpama ini merupakan salah satu perkara yang menjejaskan keharmonian hidup berukhuwwah kerana ia merupakan antara punca utama berlakunya perseteruan termasuklah sesama rakan baik, saudara terdekat, bahkan sesama ahli keluarga sendiri.
Perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang bukan sahaja akan menyusahkan penghutang itu di dunia, bahkan akan mengheretnya kepada kesusahan yang tidak terperi di akhirat kelak sekiranya dia mati sebelum sempat melunaskan hutangnya. Antara bahaya dan kecaman terhadap orang yang mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang itu antaranya:
(i) Dosanya Tidak Akan Diampunkan
Orang yang mengabaikan kewajipan membayar hutang sedangkan dia mampu melunaskannya merupakan satu dosa yang tidak akan diampunkan walau bagaimana salih dan warak sekalipun orang yang berhutang itu. Sehinggakan orang yang mati syahid kerana berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang dijanjikan pengampunan dan ganjaran syurga pun tidak akan dapat melepaskannya daripada dosa menanggung hutang.
Ini kerana urusan hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam.
Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di hadapan para sahabat Baginda, lalu Baginda menyatakan bahawa sesungguhnya jihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan beriman denganNya adalah sebaik-baik amalan. Kemudian seorang sahabat bangkit lalu bertanya yang maksudnya:
Wahai Rasulullah! Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihad pada jalan Allah, dosa-dosaku akan terhapus?
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihad pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh, dan tidak lari berpaling dari medan jihad.
Setelah itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya sekali lagi: Apa yang kamu katakan tadi?
Lalu sahabat itu tadi pun mengulangi pertanyaannya: Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihad pada jalan Allah dosa-dosaku akan terhapus?
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab, Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihad pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh, dan tidak lari berpaling dari medan jihad, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. Sesungguhnya Jibril menyatakan sedemikian kepadaku. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam satu lagi riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Diampunkan bagi orang yang mati syahid semua dosa, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. (Hadits riwayat Muslim)
(ii) Risiko Menjadi Ahli Neraka Kerana Hilang Amal Kebajikan Dan Dibebankan Tanggungan Dosa
Seorang yang mati sebelum dia sempat melunaskan hutangnya akan berhadapan dengan bahaya dimasukkan dalam api neraka.
Ini kerana sebagai ganti hutangnya itu, segala kebajikan yang dilakukannya akan diberikan kepada pemiutang dan jika belum mencukupi pula, segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pemiutang itu pula akan dipindahkan kepada penghutang tersebut.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Barangsiapa yang ada berlaku zalim terhadap saudaranya (yang berupa kezaliman terhadap) kehormatan atau sesuatu (apapun), maka hendaklah ia membebaskan diri daripadanya di dunia sebelum datang hari di mana tidak ada dinar dan tidak ada dirham (hari kiamat).
(Pada hari kiamat itu) seandainya dia memiliki amal salih maka akan diambil darinya (untuk diberikan kepada pemilik hak) menurut kadar kezaliman yang dilakukannya.
Dan sekiranya dia tidak memiliki kebajikan, maka akan diambil pula keburukan si pemilik hak dan dibebankan tanggung jawabnya kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud hadits ini ialah siapa sahaja yang ada berlaku zalim kepada seseorang dalam apa perkara sekalipun, sama ada kezaliman terhadap tubuh badan, harta benda dan sebagainya, maka hendaklah dia segera menebus dirinya daripada segala kezaliman yang telah dilakukannya itu dengan cara menunaikan hak tersebut sesegeranya kepada pihak yang dizalimi dengan membayar hutang, mengembalikan sesuatu yang diambil, menuntut kemaafan dan sebagainya.
Jika ini tidak dilaksanakan di dunia, maka pada hari akhirat kelak, amal kebajikannya di dunia akan diberikan kepada orang yang dizaliminya bagi menampung dan mengimbangi nilai kezalimannya itu.
Jika tidak ada amal kebajikannya, maka keburukan orang yang dizalimi itu pula akan ditanggung oleh orang yang berlaku zalim itu menurut kadar kezalimannya.
(iii) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam Enggan Menyembahyangkan Jenazah Orang Yang Mati Menanggung Hutang
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan pernah menolak untuk menyembahyangkan jenazah orang mati yang masih menanggung hutang sehingga dilunaskan hutangnya terlebih dahulu ataupun ditanggung hutangnya itu oleh orang lain.