Friday, April 25, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan sekali-kali ambil mudah kewajipan membayar hutang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    (i) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam Enggan Menyembahyangkan Jenazah Orang Yang Mati Menanggung Hutang

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan pernah menolak untuk menyembahyangkan jenazah orang mati yang masih menanggung hutang sehingga dilunaskan hutangnya terlebih dahulu ataupun ditanggung hutangnya itu oleh orang lain.

    Jenazah yang disembahyangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan didoakan oleh Baginda pastinya beroleh kelebihan kerana sembahyang dan doa Baginda merupakan satu syafaat yang besar bagi diri orang yang disembahyangkan.

    Sungguhpun begitu, dalam hal orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, Baginda enggan menyembahyangkannya.

    Ini kerana hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam yang tidak dapat diselesaikan atau dimaafkan dengan cara taubat atau memohon pengampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Gambar Canva

    Kisah ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:

    Seorang lelaki telah meninggal dunia, lalu kami pun memandikannya, memberikannya wangian dan mengkafaninya.

    Kemudian kami membawanya mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya Baginda menyembahyangkannya. Lalu kami mengatakan: Tolong Tuan sembahyangkan atasnya (jenazah ini).

    Maka Baginda melangkah mendekatinya lalu bersabda: Adakah dia ini masih mempunyai hutang? Kami menjawab, (Ya ada), sebanyak dua dinar. Baginda kemudian beredar (tanpa menyembahyangkannya).

    Abu Qatadah kemudian bersetuju untuk menanggung hutang dua dinar itu lalu kami pun mendatanginya. Abu Qatadah pun berkata, hutangnya dua dinar itu menjadi tanggunganku.

    Lantas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: Adakah (hutang simati itu) menjadi tanggunganmu dan simati ini bebas dari hutangnya itu? Dia (Abu Qatadah) menjawab: Ya. Setelah itu Baginda pun menyembahyangkannya.

    Pada keesokan harinya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: Bagaimana hal dua dinar itu? Maka dia (Abu Qatadah) menjawab: (Belum lagi), bukankah dia baru sahaja meninggal dunia kelmarin?

    Pada keesokan harinya (Abu Qatadah) kembali semula kepada Baginda dan berkata: Aku telah melunaskannya. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: Sekarang engkau telah membuat kulitnya merasa dingin.
    (Hadits riwayat Ahmad)

    Kita renung dan perhatikan hadits ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan bertanya tentang banyak atau sedikitnya amal ibadat simati, akan tetapi Baginda bertanya adakah simati memiliki hutang terhadap orang lain.

    Ini jelas menunjukkan betapa Baginda sangat risau dan prihatin akan perkara hutang ini.

    Hutang berhubung kait dengan hak sesama anak Adam dan perlu diselesaikan di antara kedua pihak penghutang dan pemiutang. Taubat, doa dan sebagainya tidak akan memainkan apa-apa peranan terhadap dosa menzalimi hak sesama anak Adam.

    Perhatikan juga bagaimana Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu yang telah berkesudian untuk menanggung hutang simati itu tetap sahaja diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya segera melunaskan hutang simati.

    Ini menunjukkan bahawa jaminan Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu untuk menanggung hutang simati sebenarnya belum mencukupi untuk menyelamatkan simati itu daripada kesusahan kubur. Bahkan simati hanya terlepas daripada kesusahan kubur setelah Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu sempurna menyelesaikan tanggungan simati itu.

    Adapun keengganan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyembahyang jenazah orang yang mati dalam keadaan menanggung hutang bukanlah bermaksud haram disembahyangkan jenazahnya.

    Akan tetapi, menurut ulama, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat demikian sebagai amaran supaya tidak menzalimi hak sesama manusia dengan melengah-lengahkan membayar hutang.

    Perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu juga bertujuan bagi menganjurkan para sahabat supaya segera melunaskan hutang semasa masih hidup supaya sesudah mati nanti Baginda tidak menolak untuk menyembahyangkan jenazah mereka.

    (ii) Sentiasa Hidup Dalam Kehinaan Dan Keresahan

    Tanggungan hutang menimbulkan rasa kehinaan dan keresahan sepanjang hari. Seorang yang beriman dan bertanggungjawab pastinya tidak mampu menjalani hidup dengan tenteram apatah lagi apabila terfikir seandainya dia mati sebelum terlunas segala hutang piutangnya.

    Pastinya dia merasa risau memikirkan bagaimanakah nasibnya nanti di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang ilmu dan pengadilanNya meliputi setiap sesuatu.

    Bebanan hutang menjadikan dunia terasa sempit. Rasa malu terhadap pemiutang akan menjadikan dirinya terasa sangat kerdil dan hina.

    Perasaan ini adakalanya mendorong dia supaya mengelak daripada bertembung dengan pemiutang kerana malu, takut dan kurang selesa berhadapan dengan pemiutang.

    Melengahkan membayar hutang setelah mampu: Adakah berdosa?

    Orang yang berhutang, jika dia belum mampu untuk membayar hutangnya, dia tidak berdosa.

    Akan tetapi, sebagai adab serta menjaga hubungan baik bersama pemiutang yang telah berkesudian membantunya atas dasar ihsan, simpati dan persaudaraan, wajarlah dijelaskan dengan elok dari semasa ke semasa supaya pemiutang tidak tertunggu-tunggu dan tidak membangkitkan kemarahannya.

    Walau bagaimanapun, sekiranya orang itu sudah mampu dan dalam keadaaan senang, maka hendaklah dia melunaskan hutangnya sesegera mungkin.

    Bagaimana pula keadaannya sekiranya orang yang sudah mampu dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya? Para ulama membezakan dalam keadaan ini sama ada pemiutang ada menuntut hutang tersebut ataupun belum.

    Sekiranya pemiutang sudah menuntut ataupun waktu tempoh pembayaran yang disepakati antara keduanya sudah tiba, maka dengan sendirinya penghutang yang mampu membayar itu wajib membayar sesegera mungkin.

    Berkenaan hal ini Imam asy-Syarbini Rahimahullah berkata:

    Dan wajib bagi yang diluaskan rezekinya (dalam keadaan senang) untuk melunasi segera (hutangnya) sesuai dengan kemampuan jika diminta (oleh pemiutang), berdasarkan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam: Penundaan pembayaraan hutang oleh seorang yang mampu (tanpa apa-apa keuzuran) adalah satu kezaliman.

    Ini kerana tidak dikatakan dia menundanya kecuali setelah dia (pemiutang) menuntutnya, lalu sipenghutang menolaknya (tidak mahu melunaskan hutangnya). Adapun sebelum berlaku tuntutan (hutang), maka pelunasan (segera) belum wajib.

    Jelas di sini bahawa orang yang mampu melunaskan hutangnya, lalu dia menunda-nundanya sedangkan pemiutang sudah melakukan tuntutan, maka yang demikian itu dianggap satu kezaliman dan satu perbuatan haram yang mendatangkan dosa.

    Selain mendatangkan dosa, pelakunya juga dihukumkan fasiq sepertimana pendapat jumhur. Ini kerana perbuatan tidak memberikan hak seseorang setelah dituntut dinilai sebagai berbuat zalim dan menyerupai perbuatan merampas yang dianggap sebagai kabirah (dosa besar).

    Sekiranya belum dituntut pula, maka berdasarkan kata-kata Imam asy-Syarbini Rahimahullah tadi, penghutang tidak berdosa sekiranya dia belum membayar dengan segera. Ini kerana menurutnya, kezaliman itu hanya dinilai berlaku setelah tuannya menuntut hutang tersebut.

    Imam Ibn Hajar as-‘Asqalani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari juga menyatakan bahawa sekiranya belum dituntut, maka penghutang itu tidak dihukumkan fasiq dan belum dinilai sebagai berlaku zalim.

    Sebahagian ulama pula, antaranya Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullah, seorang ulama besar mazhab Maliki, berpendapat bahawa sekiranya penghutang yang sudah mampu membayar dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya tanpa sebarang uzur syar‘ie, maka dia dinilai sebagai zalim dan menanggung dosa walaupun tuannya belum melakukan tuntutan. Ini kerana, mungkin tuannya itu belum menuntut kerana malu atau takut untuk menuntut hutangnya. Menurutnya, malu atau takut untuk menuntut ini sama keadaannya dengan ‘menuntut’.

    Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, maka sewajarnyalah orang yang berhutang segera melunaskan hutangnya sekalipun belum dituntut.

    Bersambung

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda