(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan dari minggu lepas
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, maka sewajarnyalah orang yang berhutang segera melunaskan hutangnya sekalipun belum dituntut.
Walaupun sebahagian ulama berpendapat bahawa hutang belum wajib dilunaskan sekiranya belum dituntut, akan tetapi perlu juga diambil kira pendapat yang mewajibkan melunaskan hutang bagi yang sudah mampu walaupun belum dituntut. Ini sebagai jalan keluar daripada khilaf ulama.
Tambahan lagi, perbuatan melengahkan hutang sesudah mampu itu, walaupun belum dituntut oleh pemiutang, merupakan perbuatan yang tidak mengenang budi pemiutang yang sanggup mengeluarkan hartanya untuk membantu meringankan beban dan kesusahan yang dihadapi penghutang.
Sewajarnya perbuatan mulia sipemiutang itu sekurang-kurangnya dibalas dengan menjaga dan menghormati haknya sebagai seorang manusia yang telah berbuat baik kepadanya.
Adapun orang kaya yang tidak mampu membayar hutangnya kerana hartanya hilang atau atas sebab lain, maka dia boleh menunda membayar hutangnya sehingga dia mampu.
Dalam keadaan ini, dia tidak dinilai sebagai berlaku zalim dan tidak dinilai berdosa ataupun fasiq. Begitu juga orang yang tidak mampu membayar hutangnya. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, dia tidak dikira melakukan kezaliman.

Kenapa Terhimpit Dengan Tanggungan Hutang?
Banyak perkara yang boleh menjadi penyebab kenapa seseorang itu dilimpahi tanggungan hutang sehingga akhirnya dia sendiri tidak mampu membayarnya atau keberatan melunaskannya walaupun sebenarnya dia mempunyai kemampuan. Antaranya:
(i) Kurang iman, kurang pengetahuan ugama dan kurang taat mengikut syariat.
(ii) Terlalu terikut-ikut dengan trend semasa.
(iii) Terlalu banyak berhutang walaupun untuk perkara-perkara yang tidak penting dan tidak diperlukan.
(iv) Berhutang bagi tujuan bermewah-mewah atau suka menunjukkan kemewahan.
(v) Suka melengah-lengahkan membayar hutang sedangkan dia sudah mampu melunaskannya.
(vi) Hutang yang bertindih-tindih sedangkan hutang-hutang yang sebelumnya belum lagi selesai dilunaskan.
(vii) Berhutang dalam kadar yang dia sendiri tidak yakin akan mampu melunaskannya kembali.
(viii) Berhutang untuk perkara-perkara haram dan tertegah.
(ix) Kurang bijak dalam mengatur perbelanjaan serta kurang bijak menilai yang mana lebih utama.
Adab-Adab Supaya Dipermudahkan Melunaskan Hutang Serta Tidak Terhimpit Dengan Tanggungan Hutang
(i) Hendaklah berhutang dengan niat yang baik berserta iringan azam untuk melunaskannya sesegera mungkin.
Orang yang memiliki azam untuk melunaskan hutangnya ketika berhutang lalu dia tidak mampu melunaskannya tidak dikeji syara‘. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri menjamin untuk melunaskan hutangnya. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Barangsiapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk mengembalikannya, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan membantunya untuk melunaskannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud hadits di atas ialah barangsiapa yang mengambil harta manusia dengan apa-apa cara mu‘amalah yang dibenarkan syara‘, seperti dengan cara berhutang dan sebagainya, dengan niat dan azam untuk membayar atau melunaskannya kembali, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menolongnya dengan meluaskan rezekinya di dunia supaya dia dapat melunaskan hutangnya itu.
Sekiranya orang yang ada niat untuk melunaskan hutang itu tidak sempat melunaskan hutangnya di dunia kerana belum dikurniakan kemampuan, atau dia meninggal sebelum sempat melunaskan hutangnya, maka kebajikannya tidak akan diberikan kepada pemiutang dan keburukan pemiutang juga tidak akan dipertanggungkan kepadanya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri akan menjamin hutangnya itu di hari akhirat kelak. Di sini jelas pentingnya niat yang baik ketika berhutang dan peranannya yang besar dalam menentukan buruk baik sesuatu perbuatan.
(ii) Azam tidak memadai tanpa usaha. Maka dari itu, penghutang mestilah sentiasa berusaha untuk melunaskan hutang dengan segera serta tidak berhenti berdoa memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Salah satu amalan yang diajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas mereka yang menanggung beban hutang ialah dengan membaca doa yang telah Baginda ajarkan kepada Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu di bawah ini:Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki-Mu yang halal agar aku terhindar dari apa yang Engkau haramkan dan kayakanlah aku dengan kurnia kenikmatan-Mu sehingga aku tidak meminta kepada selain Engkau.
Dengan mengamalkan doa di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan membantu dia melunaskan hutangnya itu walau sebanyak manapun hutangnya itu dengan izin Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
(iii) Hanya berhutang sekiranya benar-benar terpaksa bagi keperluan perkara yang penting dan tidak dapat dielakkan.
(iv) Mengelakkan menambah hutang sebelum terlunas hutang yang terdahulu.
(v) Sekiranya telah tiba tempoh pembayaran yang disepakati, lalu penghutang belum mampu melunaskan hutangnya, maka hendaklah penghutang itu berbincang dengan elok untuk meminta tangguh.
(vi) Memberi maklumat kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas dan tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri, dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang.
Jangan pula disebabkan belum mampu membayar hutang, sipemiutang dilayan sebagai orang asing atau musuh.
Apa yang menyedihkan, banyak berlaku sipemiutang pula yang terpaksa berusaha berhempas pulas, tebubut-bubut menagih hak milik mereka.
Sedangkan penghutang bersembunyi, tidak dapat dihubungi atau acuh tidak acuh sahaja. Ini satu akhlak yang sangat buruk.
(vii) Mengelak bersenang-lenang sebelum selesai melunaskan hutang. Jangan pula penghutang itu mudah mengeluarkan belanja untuk melancong dan membeli-belah
tetapi berat menjelaskan pembayaran hutang.
Ini boleh membuatkan pemiutang berasa tidak puas hati dan boleh menyebabkan pertengkaran dan perselisihan di antara penghutang dan pemiutang.
(viii) Merancang perbelanjaan dengan teliti dengan mengutamakan keperluan-keperluan utama dan meninggalkan keinginan-keinginan yang tidak penting. Iaitu dengan mengamalkan hidup sederhana serta berbelanja dengan berhikmah. Jangan terlalu boros dan jangan pula terlalu kedekut sehinggakan makan minum diri dan keluarga pun dibataskan secara tidak munasabah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah (pula) engkau menghulurkannya sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya engkau akan jadi tercela dan menyesal. (Surah al-Isra’: 29)
(ix) Menanamkan sifat qana‘ah (merasa cukup dengan nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala) dan redha dengan ketentuan rezeki yang telah dikurniakan olehNya.
Setiap manusia berbeza kedudukan dalam pembahagian ini menurut ilmu dan kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
Sesungguhnya Tuhanmu meluaskan pemberian rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Teliti lagi Maha Melihat hamba-hambaNya. (Surah al-Isra’: 30)
Dengan menanamkan kedua sifat ini, seseorang itu akan lebih mudah merasa cukup dengan apa yang ada pada dirinya tanpa membanding-bandingkan dengan ketentuan nasib orang lain. Ini juga memandunya supaya tidak tertarik kepada perkara-perkara yang pada hakikatnya tidak perlu dan di luar daripada kemampuannya.