Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan sekali-kali mencuaikan pembayaran upah pekerja

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Bekerja adalah kekuatan utama untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia dan senjata utama untuk memerangi kemiskinan. Islam menyeru penganutnya supaya bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki bagi memenuhi kelangsungan hidupnya dan keluarganya serta memperoleh harta yang dapat dimanfaatkannya bagi keperluan orang lain melalui jalan-jalan yang betul seperti berwakaf, bersedekah, qardh hasan (pinjaman tanpa faedah) atau memberi pekerjaan kepada orang lain bagi membantu ekonomi mereka.

    Pemilikan harta sebenar adalah berdasarkan kepada kerja yang diusahakan, bukan berpeluk tubuh atau meminta-minta. Usaha memperoleh harta itu boleh sahaja dilakukan dengan bekerja sendiri seperti membuka perniagaan atau mengusaha ternakan atau bercucuk tanam ataupun boleh sahaja bekerja untuk orang lain dengan menerima upah atau gaji.

    Menyentuh mengenai pekerjaan yang diupahkan atau digajikan, maka wujud hubungan kerja antara orang yang diupah iaitu pekerja dan orang yang membayar upahnya iaitu majikan sebaik-baik sahaja persetujuan dibuat antara kedua belah pihak. Dalam Islam, pekerja dan majikan perlu berkerjasama dalam memastikan satu-satu pekerjaan itu terlaksana dengan lancar dan efisien. Kedua-duanya saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab dalam menunaikan hak-hak antara satu dengan yang lain.

    Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pihak majikan. Tugasan itu pula mesti dilaksanakan dengan komitmen dan kegigihan yang tinggi. Hasil yang diperolehi dari pekerjaan yang dilakukannya dari usahanya sendiri itulah merupakan sumber utama baginya menampung keperluan diri dan keluarga. Diriwayatkan daripada Miqdam Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Tidak seseorang itu memakan makanan yang lebih baik daripada apa yang dimakannya daripada hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud ‘alaihissalam memakan (makanan) daripada hasil usaha tangannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Manakala di pihak majikan pula bertanggungjawab menunaikan hak-hak pekerja dengan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan para pekerja. Kebajikan pekerja perlu sentiasa dititikberatkan terutama dalam pembayaran upah atau gaji pekerja. Adalah menjadi kewajipan kepada majikan untuk membayarnya sebagaimana dalam akad yang disepakati oleh kedua belah pihak. Jika upah dijanjikan apabila kerja sempurna, maka hendaklah majikan membayar apabila pekerja sempurna melaksanakan pekerjaannya. Jika upah dijanjikan untuk diberi mengikut waktu seperti diberikan setiap bulan, maka hendaklah dilunaskannya mengikut waktu yang ditetapkan setiap bulan.

    PENGERTIAN UPAH DARI PERSPEKTIF ISLAM

    Islam memberikan perhatian utama terhadap kepentingan upah kerana fungsinya yang besar dalam menentukan keseimbangan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Manusia sememangnya memerlukan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan asasi mereka dan keluarga mereka. Dan upah pula merupakan sebilangan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan mereka itu.

    Upah dalam bahasa Arab disebut sebagai ujrah. Dari segi bahasa, upah bermaksud ganjaran atau balasan atas sesuatu pekerjaan. Dari segi istilah pula, ujrah bermaksud gantian/imbalan dalam akad sewa/upah. Dalam ilmu Fiqh, ujrah merupakan salah satu antara rukun ijarah (sewa/upah).

    Secara umum, pengertian upah sering disamakan dengan gaji. Dalam Kamus Dewan, upah ialah wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan sesuatu, bayaran sebagai pembalas jasa atau ganjaran untuk tenaga orang yang telah digunakan.

    Manakala gaji pula ialah upah yang tetap atau bayaran yang tetap untuk pekerjaan. Setelah melihat definisi di atas, maka dapat disimpulkan bahawa upah dan gaji adalah perkara yang sama dari segi pembayaran perkhidmatan dan pekerjaan, hanya berbeza dari segi ketetapan pembayaran keduanya. Pembayaran upah adalah berdasarkan kerja atau tugas yang dihasilkan. Manakala pembayaran gaji pula adalah tetap, di mana seseorang itu akan menerima sejumlah gaji yang sama setiap bulan bagi satu-satu jawatan yang dipegangnya. Kedua-dua bentuk pembayaran ini ada disebut dalam bab ijarah (sewa/upah) dalam kitab Fiqh.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda