(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sambungan minggu lepas
Disebutkan dalam perkara ijarah (sewa/upah), pembayaran upah bagi tenaga dan perkhidmatan sah dilakukan dengan mata wang atau bentuk barangan seperti baju, kitab, barang makanan dan sebagainya. Pembayaran upah dalam bentuk wang atau selainnya ini adalah berdasarkan kepada penetapan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja.
Walau bagaimanapun rata-rata pada zaman ini, pembayaran upah khidmat atau gaji pekerja dibayar dalam bentuk mata wang kerana kepentingannya lebih praktikal dalam memenuhi keperluan manusia.
Penetapan kadar upah pula biasanya bergantung pada kadar kebiasaan di sesuatu tempat, jenis pekerjaan, keadaan pekerjaan, hasil pekerjaan dan sebagainya. Semua ini mestilah jelas disebut dalam kontrak. Dalam syarat ujrah, hendaklah antara kedua pihak yang berakad tahu jenis upah, kadarnya dan sifatnya sebagaimana syarat makluman harga dalam perkara jual beli.
HUKUM MENCUAIKAN UPAH PEKERJA
Dalam kontrak pekerjaan atau perkhidmatan yang dibuat antara majikan dan pekerja, disebutkan mengenai skop kerja yang perlu dilaksanakan oleh pekerja dan sebagai imbalannya, majikan membayarnya sejumlah upah atau gaji. Jika pekerjaan atau tugasan itu dilakukan seperti yang disebut di dalam kontrak, maka tidak ada alasan bagi majikan untuk mencuaikan upah pekerja.
Mencuaikan upah pekerja membawa maksud majikan melambat-lambatkan pembayaran upah atau langsung sama sekali tidak membayar upah sebagaimana perjanjian. Dan tindakan ini adalah penganiayaan dan kezaliman terhadap pekerja dan hak-haknya. Kerana itu ia termasuk antara dosa-dosa besar sebagaimana disebut dalam kitab az-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Disebut ‘kering peluhnya’ kerana upahnya itu adalah pekerjaan (yang dilakukan oleh tubuh badannya). Apabila manfaat pekerjaan itu segera diterima oleh seorang majikan, maka pekerja berhak menerima upah hasil usahanya itu dengan segera. Disebut ‘berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya’ adalah berupa perumpamaan tentang kewajipan menyegerakan pembayaran upah sebaik-baik sahaja kerja selesai apabila dituntut (oleh pekerja tersebut) walaupun dia tidak berpeluh (ketika melakukan pekerjaan) atau dia berpeluh dan peluhnya kering.
Imam al-Munawi Rahimahullah dalam kitab beliau, Faidh al-Qadir menjelaskan berdasarkan hadits di atas:
Maka haram melambatkan-lambatkannya (pembayaran upah) dan menangguhkannya sedangkan dia mampu (untuk membayarnya dengan segera).
Melambatkan atau menangguhkan pembayaran upah pekerja sehingga kadang-kadang sampai berminggu malahan berbulan, menyebabkan pekerja menghadapi masalah ekonomi yang bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan keluarganya, lebih-lebih lagi jika pekerja itu merupakan tulang belakang keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan asasi mereka. Bukankah ini satu penganiayaan?
Lain halnya lagi, jika majikan tidak membayar langsung upah pekerja sehinggakan ada yang tamat perkhidmatan namun jumlah upah yang dijanjikan tidak dilunaskan. Ini adalah satu penindasan dan perbuatan menindas orang lain ini sangat ditegah oleh Islam.
Seseorang yang menahan orang yang diupah dari mendapatkan haknya (upahnya kerana melakukan pekerjaan), maka dia dianggap menzalimi orang yang diupah itu apabila dia menerima khidmatnya tanpa dibayar upah. Kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala memusuhi golongan yang zalim ini. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh sahabat, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Tiga orang, Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat: Seorang lelaki yang membuat perjanjian atas namaKu lalu dia memungkiri (perjanjian)nya, seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya dan seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang tersebut lalu dia tidak membayar upahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menjelaskan mengenai seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang itu tetapi tidak membayar upahnya sama seperti dua orang yang disebut sebelumnya (seorang lelaki yang membuat perjanjian atas nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala lalu dia memungkiri (perjanjian)nya dan seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya) yang dianggap Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai musuhNya. Ini kerana orang yang mengupahkan itu menerima manfaat daripada orang yang diupahnya tanpa ada gantian atau imbalan, maka seolah-olah orang yang mengupah itu memakan hak orang yang diupahnya. Begitu juga dengan meminta khidmatnya tanpa diberi upah seolah-olah dia menghambakan orang yang berkhidmat itu.
Begitu juga dianggap penganiayaan bilamana upah seorang pekerja dibayar tetapi kurang dari jumlah yang dijanjikan dalam kontrak perkhidmatan melainkan ada sebab yang munasabah menurut kontrak bahawa upah itu dikurangkan. Perbuatan membayar upah bukan seperti jumlah yang dijanjikan dalam kontrak termasuk dalam kategori perbuatan tidak menepati janji. Tidak menepati janji juga termasuk antara dosa besar yang disebut dalam kitab az-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir. Ini kerana menepati janji itu merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:
Dan sempurnakanlah janji yang kamu buat (sama ada dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan (di Hari Kiamat). (Surah al-Isra’: 34)
Janji yang diperintahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk disempurnakan dalam ayat di atas adalah perjanjian yang disepakati oleh mereka yang membuat kesepakatan dan kontrak-kontrak yang mereka bermuamalah atau berurusan dengannya. Perjanjian dan kontrak inilah yang akan dipersoalkan kepada pelakunya di hari pembalasan kelak.
Kesimpulannya, majikan berkewajipan menjaga hak-hak pekerja, antaranya ialah membayar upah atau gaji pekerja sebagaimana disebutkan dalam kontrak perkhidmatan.
Pembayaran upah ataupun gaji pekerja tidak boleh dicuaikan oleh mana-mana pihak yang menggunakan khidmat orang lain dalam menjayakan perkhidmatan dan menghasilkan produksi sektor mereka. Ini kerana pembayaran upah dan gaji yang dilaksanakan secara efisien dan mencukupi keperluan pekerja dan keluarganya berperanan besar dalam mengatasi masalah sosioekonomi seperti mengurangkan jumlah kemiskinan atau perbuatan meminta-minta. Ini termasuklah apa-apa bentuk imbalan yang dijanjikan pihak majikan kepada pekerja dalam kontrak perkhidmatan seperti elaun, komisen dan yang seumpamanya. Maka, adalah tidak wajar menangguh-nangguhkan pembayaran upah atau gaji mereka sehingga mengambil masa yang lama untuk mereka menerimanya atau langsung tidak dibayar. Rebutlah ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan membantu memudahkan urusan orang lain yang menjana pendapatan bagi kehidupan mereka.
Dalam pada itu, pekerja pula tidak boleh mengambil ringan akan tugasannya walaupun sekiranya upah atau gaji yang dibayar kepadanya tetap dan tidak bergantung pada hasil tugas.
Dia juga berkewajipan menjaga hak-hak majikan, antaranya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan tekun dan jujur, tidak sekali-kali cuai apalagi berlaku khianat.
Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap apa-apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaannya dan tidak boleh wujud salah laku seperti penyalahgunaan bekalan/kemudahan di tempat kerja, tidak jujur dan tidak amanah, melakukan kelakuan tidak bermoral di tempat kerja atau tidak patuh dan ingkar terhadap majikan.
Raihlah keberkatan melalui upah pekerjaan yang dilakukan dengan amanah dan diniatkan kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
