Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Kecerdasan Buatan (AI) Generatif tidak dapat dinafikan akan memberikan kesan kepada pendidikan namun perkara yang penting adalah bukan untuk menyekat penggunaan AI dalam pendidikan tetapi untuk menggubal dasar bagi memanfaatkannya sebaik mungkin serta dengan betul dalam memperoleh ilmu pengetahuan.
Perkembangan AI Generatif pastinya akan memberikan kemudahan kepada pengguna tetapi mereka harus mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menilai maklumat yang dihasilkan oleh AI berkenaan.
Perwakilan Menteri kepada Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Chhem Kieth Rethy menekankan perkara itu dalam kandungan kuliahnya bertajuk Education in the Era of Generative AI yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.
Hadir pada sesi kuliah berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hokseng; Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres dan Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman.



Menurut TYT Profesor Dr Chhem Keith Rethy lagi, dalam hubungan itu, adalah amat penting untuk mengubah kaedah pembelajaran iaitu daripada hanya mendidik kemahiran pelajar, kepada mendidik mereka untuk menjadi pelajar sepanjang hayat.
Beliau juga menekankan pentingnya bagi golongan pendidik menyesuaikan pemikiran dan kaedah pengajaran di mana mereka perlu memanfaatkan AI sebaiknya bagi memperkasakan lagi pengajaran. AI hanya dapat menyediakan maklumat yang disediakan kepada mereka tetapi ia tetap harus menjadi sebagai peralatan untuk memudahkan pembelajaran, tambahnya.
“Kita harus mendidik pelajar untuk sentiasa menilai maklumat yang diberikan melalui kaedah AI bagi memastikan ia adalah sesuai bukan sahaja daripada segi konteks maklumat tetapi juga budaya kita,” jelasnya.
Sesi kuliah itu diteruskan dengan sesi soal dan jawab yang dikendalikan oleh Penolong Profesor, Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL), UTB, Dr Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid di mana TYT Profesor Dr Chhem Kieth Rethy memberikan pandangan, pendapat serta berinteraksi dengan mereka yang menghadiri sesi kuliah berkenaan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan 29 buah buku daripada Kedutaan Kemboja yang disampaikan oleh TYT Profesor Dr Chhem Kieth Rethy kepada Dr Haji Azman.
Buku-buku yang disumbangkan berkenaan merangkumi pelbagai topik termasuk kebudayaan, masakan, pendidikan, politik dan hubungan luar, sains serta sejarah.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Sudut Kemboja di Perpustakaan UTB.

