Sunday, January 5, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan sembunyi sebarang kejadian buli – Fadhlina Sidek

    PUTRAJAYA, 2 JAN – Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek mengingatkan pengurusan sekolah khususnya pengetua, guru besar dan guru pentadbir, agar tidak menyembunyikan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

    Beliau berkata tiada kompromi terhadap kes buli dalam sekolah dan semua aduan daripada ibu bapa, pelajar dan sekolah akan dipandang serius.

    Katanya, setiap aduan kes buli di sekolah perlu disalurkan melalui portal Aduan Buli yang diselia Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar penyelesaian berhemah dan siasatan yang telus dapat dilaksanakan mengikut garis panduan pengendalian kes buli.

    “Saya mengingatkan sekolah, khususnya pengetua, guru besar, dan guru-guru pentadbir supaya jangan menyembunyikan kejadian ini (buli). Kita minta agar ia diselesaikan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Beliau berkata sebarang tindakan melalui proses itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat ketidakpuasan terhadap cara pengurusan sekolah menangani aduan berkaitan buli.

    Fadhlina Sidek (kanan) ketika sidang media khas pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di kementeriannya. – Bernama

    Fadhlina berkata demikian ketika diminta me-ngulas laporan akhbar hari ini yang mendedahkan kes buli yang masih berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh.

    Dilaporkan pelajar senior membuli junior dengan mengenakan denda keterlaluan, seperti diarah melakukan aksi commando rest selama dua jam dan dipaksa untuk berbogel beramai-ramai.

    Fadhlina turut berkata pengurusan sekolah termasuk pengetua adalah tidak wajar mempersoalkan tindakan ibu bapa yang membuat aduan mengenai kes buli.

    “Kenapa pula pengetua mempersoalkan perkara ini? Saya rasa itu adalah hak ibu bapa jika mereka merasakan anak mereka tidak mendapat keadilan dalam konteks siasatan dan aduan.

    “Ibu bapa berhak untuk melanjutkan aduan (buli) tersebut ke peringkat yang lebih tinggi termasuk pihak berkuasa dan KPM. Jadi, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil semua aduan baik (daripada) ibu bapa, pihak sekolah, mahupun anak (mangsa) itu sendiri,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda