Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan terlalu ‘perfectionist’ dalam mendidik anak

    “MAMA, Adik tak pandai!”

    “Kenapa cakap macam tu? Habis, kerja sekolah ni macamana?”

    “Ala, Adik tak pandai macam kawan-kawan…. Adik tak nak buat lagilah…”

    Kenapa anak kita mudah sangat putus asa? Takut diketawakan? Takut mencuba? Takut buat silap?

    Sikap ibu bapa mempengaruhi kelakuan anak.

    Menurut laman Phsychology Today, dalam artikel bertajuk ‘A Nation of Wimps’, anak-anak hari ini menjadi semakin lemah dan penakut dek perangai ibu bapanya yang ‘terlalu mengambil berat’ atau ‘perfectionist’.

    Di kelas, mungkin mereka bukanlah pelajar cemerlang atau tak pernah memenangi apa-apa pertandingan. Tak tahu apa bakat mereka, semuanya biasa-biasa saja. Tapi, selagi mereka tidak melakukan sesuatu yang buruk, apa salah mereka? Walau apa pun, kita mesti menerima mereka seadanya. Ini antara sebab yang menjadikan anak pemalu, rendah diri dan kurang yakin. – Gambar hiasan

    Contohnya, kalau buat kerja sekolah, cepat saja kata ‘susah’, ‘tak reti’. Ada yang takut gelap, takut berenang, takut cicak. Pernah tak terfikir mereka jadi begitu disebabkan sikap ibu bapa sendiri? Bukankah kita impak pertama dan terbesar dalam hidup mereka?

    7 sikap ibu bapa ‘perfectionist’ jadikan anak penakut

    Secara tidak sedar, pembawaan ibu bapa dalam mendidik anak memainkan peranan penting. Ianya bermula sejak kecil lagi. Jadi, cuba refleksi diri dan lihat sama ada kita melakukan kesilapan berikut:

    1. Meletakkan harapan yang terlalu tinggi

    Siapa tak mahu anaknya berjaya? Sudah tentu setiap ibu bapa mempunyai segunung impian buat anak-anaknya supaya menjadi orang yang luar biasa.

    Tetapi, anda perlu bijak meletakkan sempadan antara ‘sokongan’ dan ‘tekanan’. Mungkin mereka akan jadi seseorang yang takut gagal kerana tak mahu mengecewakan anda, bukannya kerana mahu belajar menjadi orang berguna.

    2. Suka menasihat (dan membebel)

    Kita selalu menganggap anak kecil takkan faham, jadi kita ulang cakap berkali-kali. Tapi, sebenarnya tahap konsentrasi mereka dalam satu-satu masa tidaklah sepanjang bebelan anda!

    Jadi, usahlah memberi kritikan berjela kerana ia mengelirukan dan susah difahami oleh anak. Sebaliknya, ringankanlah mulut memuji mereka walaupun pada perkara kecil. Mereka tentu akan rasa lebih bersemangat.

    3. Sukar menerima anak seadanya

    Di kelas, mungkin mereka bukanlah pelajar cemerlang atau tak pernah memenangi apa-apa pertandingan. Tak tahu apa bakat mereka, semuanya biasa-biasa saja.

    Tapi, selagi mereka tidak melakukan sesuatu yang buruk, apa salah mereka? Walau apa pun, kita mesti menerima mereka seadanya. Ini antara sebab yang menjadikan anak pemalu, rendah diri dan kurang yakin.

    4. Terlalu sibuk menjadi ‘superhero’ keluarga

    Kita tak pernah menampakkan kelemahan kita di hadapan anak-anak. Memanglah, semua ibu bapa kalau boleh nak jadi ‘superhero’ untuk anak mereka!

    Tapi, anak-anak perlu tahu bahawa mereka tidak perlu jadi seseorang yang sempurna serba-serbi. Jadi, jangan segan untuk mengaku kesilapan kita di hadapan mereka.

    5. Tak mahu menerima pertolongan orang lain

    Cakap saja kerja apa, semua kita boleh buat. Serba bolehlah katakan. Kalau anak nak tolong, mesti cepat saja kita menolak. Hendak siap cepat, takut berkecah. Kalau suami nak tolong pun, kita pula mengkritik. Bahayanya sikap ibu bapa ini bagi anak-anak adalah mereka akan merasa ‘perlu’ lakukan semuanya sendiri.

    Apabila menghadapi kesulitan, mereka pula jadi susah melafazkan perkataan ‘tolong’. Ia menyebabkan anak tertekan, mudah mengalah dan tak mahu terus mencuba.

    6. Fokus kepada keputusan berbanding usaha

    Sesetengah sikap ibu bapa asyik bertanyakan “Dapat berapa ujian hari tu?”

    Sebaliknya, selalulah ajukan soalan “Buat apa di sekolah hari ini?”

    Ada juga yang hanya akan memberi sorakan pada anak kecil apabila dia berjaya melakukan sesuatu, seperti melangkah kaki atau menyebut perkataan pertama. Yang penting adalah proses pembelajaran, bukannya keputusan. Proses inilah akan menjadikan anak lebih matang dan bijak membawa diri di kemudian hari.

    7. Asyik cakap ‘jangan’

    “Jangan lari, nanti jatuh.”

    “Jangan buat macam tu, bahaya.”

    “Jangan bising sangat boleh tak?”

    Jangan, jangan, jangan. Ini adalah ungkapan negatif yang akan mempengaruhi emosi mereka. Mereka akan ‘tersekat’ dan jadi penakut untuk mencuba sesuatu di luar pengawasan kita. Sekali-sekala, biarlah mereka bebas melakukan sesuatu. Kalau jatuh, biar mereka belajar untuk bangun.

    Biar anak belajar buat sendiri

    Tukar mentaliti. Relaks dan jangan ambil serius sangat tentang pencapaian mereka. Biar mereka ambil masa bereksperimen dan belajar jadi ‘orang’. Bukannya mesin. Ingat, kegagalan sebenar hanyalah apabila kita tidak mahu mencuba. Yang penting, anda sentiasa memberi sokongan kepada mereka setiap masa.

    Tip agar anak-anak mendengar kata tanpa perlu menjerit dan mengugut.

    Kadangkala, sebagai ibu bapa memang sukar untuk kita bersabar dengan karenah anak-anak. Corak kehidupan masa kini menambahkan lagi bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa. Lebih-lebih lagi bagi yang menjadi ibu atau bapa tunggal, beban dan tanggungjawab menjadi berlipat kali ganda.

    Anak-anak pula sering meminta perhatian dan ada pula yang tidak tahu berdikari walau sedikit pun. Mereka semakin pandai merungut, mengambil kesempatan atau membuat helah yang mereka tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian hingga kita kadang-kadang merasakan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diberikan.

    Justeru itu, bagaimana untuk membuatkan mereka mendengar kata tanpa kita perlu menjerit dan mengugut?

    1-Jangan tergesa-gesa sambil menggesa dalam memberi arahan

    Kadangkala, lagi banyak menggesa, keadaan menjadi lebih buruk. Jika kita mahu mereka melakukan sesuatu, kita perlu meluangkan sedikit masa hanya untuk memberitahu perkara itu. Hampirilah anak itu, pandang kepadanya dengan pandangan yang mesra dan katakan apa yang kita mahu dia lakukan.

    Anda boleh menyentuh bahunya dengan lembut ketika membuat permintaan itu. Kadangkala, anak yang degil ini sengaja bersikap demikian untuk menguji kesabaran kita. Oleh itu, kita akan kalah jika kita hilang sabar.

    2-Berlembut dengan nada kasih sayang

    Anak-anak seperti ini bersikap keras di luar, tetapi sebenarnya mereka masih lembut di dalam. Tawanlah hatinya. Untuk itu, kita perlu gunakan cara yang lembut. Gunakan kata-kata pujukan dan rayuan seperti, “Haikal, mak penat betullah. Haikal kesian mak tak? Boleh tak Haikal tolong sapu halaman di luar tu? Emak tak tahu siapa lagi yang boleh tolong emak.

    Kalau mak buat juga, sakit pinggang mak akan menjadi bertambah teruk lagi. Boleh ya, Haikal? Haikal anak baik kan?” Memanglah kita perlu meluangkan sedikit masa untuk memberikan kata-kata seumpama ini. Tetapi apa salahnya kalau kata-kata arahan seperti, “Haikal, pergi sapu halaman,” itu tidak berkesan?

    3-Tunggu sebentar di sisinya sehingga dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh

    Kehadiran kita di sisinya lebih meyakinkan dia bahawa kita benar-benar serius mahu dia melakukan suruhan tersebut. Ia lebih berkesan daripada mengulang-ulang arahan yang sama dari jauh.

    4-Berikan komen yang positif apabila dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh

    Sewaktu dia sedang melakukannya, datang dan jenguk dia serta berikan terus komen-komen positif. Jangan tunggu sehingga dia selesai, baru anda hendak berikan komen yang positif. Anak-anak seperti ini perlu didorong dengan lebih kuat daripada anak yang sedia mendengar kata-kata ibu bapa mereka.

    5-Apabila tugas itu sudah dilaksanakan, berikan pujian atau ucapkan terima kasih kepada anak itu kerana telah melakukannya dengan segera

    Selitkan juga ucapan terima kasih kerana ‘dia sanggup mendengar kata-kata anda.’ Dengan ini, kanak-kanak akan dapat merasakan yang ibu bapanya benar-benar mengambil perhatian terhadap apa yang dikatakan dan mereka juga dapat merasakan betapa besar maknanya kepada ibu bapa untuk mereka mematuhi suruhan tersebut.

    6-Tetapi jika kerja itu tidak dilakukan, hampiri anak tersebut dan bincangkan tentang apa yang kita mahu dia lakukan

    Terus awasi dia sehingga dia selesai melaksanakannya. Apabila dia semakin menunjukkan peningkatan melakukan kerja dengan pengawasan, kita boleh kurangkan memberi kata-kata pengesahan setiap kali dia melakukan sesuatu kerja, tetapi sekali-sekala, berikan komen bahawa mereka bertanggungjawab dan tunjukkan penghargaan kepada sumbangan mereka itu.

    7-Kita boleh janjikan sesuatu yang menarik kepadanya sekiranya dia melakukan apa yang disuruh

    Contohnya membawa dia bersiar-siar di hujung minggu nanti sekiranya dia bersikap rajin dan melakukan apa yang disuruh.

    8-Terangkan juga kepadanya betapa besarnya pahala anak yang mentaati kedua ibu bapanya

    Anak sebegini yang akan mendapat keredhaan ibu bapa, yang merupakan antara syarat utama untuk masuk syurga kelak.

    9-Selalu bacakan kisah-kisah mengenai anak yang mentaati kedua ibu bapanya dan balasan yang Allah SWT berikan

    Kisah-kisah semasa boleh diceritakan. Contoh di kalangan saudara mara juga adalah baik untuk disebutkan kepada anak-anak. Umpamanya, anak yang seringkali berjaya di dalam hidup mereka berkat ketaatan mereka kepada kedua ibu bapa. Ceritakan juga kisah-kisah anak yang tidak mendengar kata-kata ibu bapa mereka serta kesusahan dan bala yang Allah turunkan untuk anak-anak seperti ini.

    10-Jika menonton drama di televisyen mengenai anak yang baik atau akibat anak yang degil, berikan komen atau iktibar daripadanya selepas kita menontonnya bersama.

    Lebih baik lagi jika kita dapat merakamnya untuk ditonton lagi di masa-masa yang akan datang.

    11-Perhati dan periksalah diri kita sendiri. Kadang-kadang anak yang bersifat degil itu adalah cermin diri kita.

    Mungkin kita juga seorang yang degil, cuma cara dan bidangnya berbeza. Mungkin, hanya satu bentuk kecuaian kita dalam menjaga syariat, sudah cukup untuk menjadikan kita gagal dalam memimpin dan mendidik anak-anak. Kecuaian kita menunjukkan kita juga ‘degil’ untuk mematuhi perintah Allah SWT, justeru itu Allah berikan teguran-Nya melalui sikap anak-anak. Cuba perbaiki diri kita dari semasa ke semasa, untuk menjadi hamba Allah yang taat, semoga anak kita juga taat kepada ibu dan ayahnya.

    12-Jangan terlalu banyak mencemuh atau mengutuk anak kalau dia bersikap degil

    Ini tidak akan memberi apa-apa kebaikan. Malah, ia akan merosakkan hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak yang merasakan dirinya ‘tidak berguna’ dan dibenci oleh ibu bapa akan bersikap lebih degil lagi, kerana dia juga sedikit sebanyak turut membenci kedua ibu bapanya.

    13-Jangan biarkan anak terus dengan sikap degilnya itu

    Kalau kita menyuruh berbuat sesuatu dan dia tidak mengendahkannya, kita harus terus memujuknya supaya dia tetap melakukannya. Jangan pula di waktu-waktu tertentu kita biarkan dia lepas begitu sahaja, manakala di waktu lain kita begitu marahkan dia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda