Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan terlalu risau kes tembak di Sibu

    KUCHING, 5 JAN – Warga Sibu dinasihatkan untuk tidak terlalu risau dengan keselamatan mereka susulan kejadian dua lelaki melepaskan tembakan dan mencederakan tiga individu di bandar itu 1 Januari lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

    Beliau berkata polis sedang berusaha keras menyiasat kes itu termasuk mengesan dari mana datangnya senjata api yang digunakan.

    “Tidak perlu risau, semua tindakan-tindakan yang padu (sedang dilakukan) untuk mengatasi perkara ini, keadaan keselamatan di Sibu dan juga di seluruh Sarawak masih terkawal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung kes terbabit supaya tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4:55 petang itu, dua suspek bertopi keledar dikatakan tiba di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo, Sibu, menggunakan dua buah motosikal sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki di premis itu sebelum melarikan diri.

    Insiden itu telah menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian paha dan kaki kanan, manakala dua lagi rakannya masing-masing terkena tembakan pada bahagian-bahagian bahu kiri dan kanan. – Bernama

    Datuk Mancha Ata (tengah) menjawab soalan wartawan mengenai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda