Saturday, March 1, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan terpedaya kes penipuan Macau Scam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Orang ramai diingatkan berwaspada mengenai beberapa kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank dan polis, dikenali sebagai Macau Scam yang telah menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa-mangsa yang terpedaya.

    Menurut kenyataan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dalam modus operandi atau taktik penipuan tersebut, mangsa biasanya akan dihubungi melalui telefon oleh individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank, memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit atau memiliki kad kredit yang bukan kepunyaan mangsa.

    Seterusnya, panggilan akan ‘disambungkan’ atau ‘dipindahkan’ kepada individu yang mengaku sebagai ‘pegawai polis’ yang menyatakan bahawa mangsa telah disenaraikan sebagai suspek kerana akaun bank mangsa didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah.

    Penjenayah kemudiannya akan meminta maklumat peribadi mangsa dan mengarahkan mereka untuk memindahkan atau mengeluarkan wang, kononnya untuk tujuan keselamatan.

    BSJS menasihatkan orang ramai untuk tidak sekali-kali berkongsi maklumat peribadi, gambar, butiran akaun bank atau jumlah wang dalam akaun dengan sesiapa melalui telefon atau aplikasi media sosial kepada orang yang tidak dikenali.

    Untuk melindungi diri daripada Macau Scam, orang ramai dinasihatkan untuk tetap tenang dan tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan. Adalah penting untuk sentiasa mengesahkan maklumat dengan menghubungi bank atau polis melalui nombor rasmi yang berdaftar dan tidak menghubungi menggunakan aplikasi media sosial. Elakkan memindahkan wang atau menyerahkan wang tunai kepada pihak yang tidak dikenali.

    Jika awda telah menjadi mangsa, hubungi pihak bank dengan segera untuk cuba menghentikan transaksi dan buat laporan polis dengan menyertakan semua butiran yang ada.

    PPDB juga mengingatkan bahawa sesiapa yang terlibat, termasuk mereka yang mendaftarkan atau meminjamkan nombor sim kad serta menyewakan atau meminjamkan akaun bank, boleh didakwa sebagai bersubahat dalam penipuan.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda