BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mendapati satu mesej tular mengenai peluang pekerjaan di sektor perkhidmatan awam menggunakan logo dan nama Suruhanjaya serta memberikan pautan palsu yang tidak berkaitan dengan pejabat itu.
Sehubungan itu, SPA ingin menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sepertimana yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menekan pautan tersebut dan mengongsikan butiran peribadi kepada pihak tertentu yang belum dipastikan kesahihannya.
SPA sangat memandang serius terhadap isu penyamaran akaun palsu ini dan turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34 iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun atau denda sebanyak $3,000 atau kedua-duanya sekali.
Iklan jawatan kosong dalam perkhidmatan awam boleh dilihat di portal PSC Recruitment 2.0 (www.recruitment.gov.bn), media sosial PSC.BN (Instagram, Facebook dan Telegram) dan juga di akhbar Pelita Brunei pada setiap Sabtu.
Bagi sebarang pertanyaan, pihak awam boleh terus berhubung dengan pejabat tersebut melalui meja bantuan talian WhatsApp atau Telegram di talian 7371961 semasa waktu bekerja atau e-mel ke alamat query@spa.gov.bn.


