Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jangan terpedaya taktik licik iklan produk tembakau’

    Oleh Sim Y.H. –
     
    Menurut Global Center for Good Governance in Tobacco Control (GGTC), semenjak 2021, Negara Brunei Darussalam secara berterusan telah mendahului dari segi negara yang menerima gangguan paling sedikit daripada industri tembakau. 
     
    Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam adalah salah satu negara berprestasi terbaik dalam melaksanakan Artikel 5.3 di bawah WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) dengan berkesan melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan: 8/2019 yang menegah penglibatan penjawat awam dengan industri tembakau.
     
    Selain itu, Brunei mempunyai Perintah Tembakau 2005 yang memperuntukkan dalam Bab 9(1) bahawa membekalkan produk tembakau kepada individu di bawah umur 18 tahun adalah satu kesalahan. 
     
    Manakala, Bab 10(1) pula memperuntukkan bahawa individu di bawah umur 18 tahun yang merokok atau memiliki produk tembakau di kawasan awam termasuk kawasan sekolah atau kompleks perniagaan juga boleh didakwa di bawah akta berkenaan.
     
    Pencapaian itu telah diketengahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Tanpa Tembakau 2025.
     
    Gambar Freepik
    Kajian mendapati pendedahan kepada nikotin semasa kanak-kanak dan remaja telah dikaitkan dengan gangguan emosi. – Freepik
    BRUNEI TIDAK TERLEPAS DARIPADA MENJADI SASARAN PENJUALAN PRODUK-PRODUK TEMBAKAU DAN NIKOTIN
     
    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kita tidak seharusnya leka kerana negara kita tidak terlepas daripada menjadi sasaran penjualan produk-produk tembakau dan nikotin seperti rokok dan rokok elektronik. 
     
    “Walaupun negara kita tidak mempunyai pengedar produk tembakau yang berlesen dan penjualan rokok elektronik adalah ditegah, kita masih boleh meliat penggunaan produk-produk tersebut di negara ini, termasuklah dalam kalangan remaja.” 
     
    Beliau mendedahkan bahawa hasil dapatan dari kaji selidik Global School Health Survey (GSHS) 2019 menunjukkan 9.8 peratus remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah perokok, iaitu 15.4 peratus dalam kalangan remaja lelaki dan 4.3 peratus dalam kalangan remaja perempuan. 
     
    Pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 15 tahun pula adalah sebanyak 13.3 peratus, yang mana 19.0 peratus adalah di kalangan remaja lelaki dan 7.1 peratus adalah dalam kalangan remaja perempuan.
     
    “Perkara ini amat membimbangkan kerana nikotin daripada produk-produk ini boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan otak kanak-kanak dan remaja, seterusnya boleh mempengaruhi fungsi emosi dan kognitif mereka, serta meningkatkan risiko ketagihan terhadap tembakau, nikotin dan bahan ketagihan lain,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.
     
    Beliau berkata bahawa individu yang terdedah kepada nikotin pada usia muda adalah lebih cenderung untuk mengalami ketagihan nikotin yang teruk dan akan sukar untuk berhenti. 
     
    “Selain itu, kajian juga mendapati bahawa pendedahan kepada nikotin semasa kanak-kanak dan remaja telah dikaitkan dengan gangguan emosi seperti kemurungan dan sebagainya.”
     
    HARI TANPA TEMBAKAU 2025
     
    Penggunaan tembakau merupakan satu epidemik yang mengancam kesihatan awam terbesar termasuk dalam kalangan golongan remaja, yang mana dianggarkan terdapat 37 juta kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun di seluruh dunia menggunakan tembakau. 
     
    Kadar penggunaan rokok elektronik dalam kalangan golongan muda pula adalah lebih tinggi berbanding orang dewasa di kebanyakan negara. 
     
    Dalam beberapa dekad ini, industri tembakau dengan sengaja menggunakan pelbagai taktik yang strategik dan agresif untuk menarik orang ramai untuk ketagih kepada tembakau dan nikotin. 
     
    Kanak-kanak dan para remaja dijadikan sasaran oleh industri tembakau dengan menggunakan taktik pengiklanan dan kandungan pemasaran yang sengaja dihasilkan untuk generasi muda bagi mendapatkan pengguna tembakau dan nikotin yang baru.
     
    Oleh yang demikian, Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025 membawa tema, Mendedahkan Daya Tarik Taktik Industri Terhadap Produk Tembakau dan Nikotin, bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang pengaruh berbahaya industri tembakau terhadap kanak-kanak dan remaja. 
     
    PELBAGAI TEKNIK MANIPULASI DIGUNAKAN INDUSTRI TEMBAKAU MEMPENGARUHI GENERASI MUDA
     
    Dari segi pemasaran produk-produk tembakau, pelbagai teknik manipulasi yang digunakan oleh industri berkenaan untuk mengembangkan pasaran mereka dan menjerat generasi muda ini kepada produk mereka, khususnya dari segi inovasi reka bentuk produk yang bergaya atau berbentuk mainan, perisa produk yang menarik golongan tersebut, pembungkusan yang berwarna-warni, berserta slogan pengiklanan dan penggunaan imej yang disasarkan kepada kanak-kanak. 
     
    Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa sebanyak 16,000 pelbagai perisa merupakan faktor utama yang mendorong penggunaan produk nikotin dan tembakau dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
     
    Manakala peningkatan penempatan produk tembakau dan nikotin secara strategik di media-media popular seperti dalam filem, rancangan TV, video muzik bukanlah satu kebetulan. 
     
    Ia berperanan untuk menormalkan dan mempopularkan produk-produk berkenaan dalam kalangan generasi muda bagi menarik perhatian mereka dan seterusnya meningkatkan keinginan mereka untuk mencuba. 
     
    Selain itu, industri tembakau dan berkaitan juga menaja pempengaruh media sosial yang popular dan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial untuk mempromosikan produk-produk mereka, seterusnya mempengaruhi pengikut-pengikut mereka untuk membeli produk berkenaan. 
     
    Kajian daripada WHO telah membuktikan bahawa kandungan pemasaran yang mempromosikan rokok elektronik, kantung nikotin dan produk tembakau yang dipanaskan telah ditonton lebih daripada 3.4 bilion kali di platform media sosial. 
     
    Peningkatan platform media sosial dan pemasaran digital, membolehkan lagi industri berkenaan untuk menembus pasaran yang lebih luas untuk ditujukan kepada kumpulan sasaran yang lebih tepat.
     
    Daripada segi dasar dan undang-undang pula, industri tembakau sering kali menentang dasar kawalan tembakau dan langkah-langkah berasaskan bukti seperti peningkatan cukai eksais dan larangan menyeluruh pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau. 
     
    Sesetengah kerajaan juga telah diancam oleh industri berkenaan dengan tindakan undang-undang.
     
    GESAAN KEPADA GENERASI MUDA NEGARA UNTUK MENENTANG PENGARUH INDUSTRI TEMBAKAU
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menggesa generasi muda di negara ini untuk menentang pengaruh industri-industri tersebut dan memperjuangkan masa depan mereka bebas daripada tembakau dan nikotin.
     
    Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 tafsirnya; “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
     
    Dalam hubungan itu, beliau memohon kerjasama dan penglibatan serta kerjasama ibu bapa, keluarga atau penjaga, institusi-institusi pendidikan, tempat atau kompleks perniagaan, badan-badan bukan kerajaan serta masyarakat awam secara umumnya, dalam sama-sama menangani dan mencegah penggunaan tembakau dan nikotin di negara ini.
     
    “Bagi yang ingin berhenti merokok, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di pusat-pusat kesihatan di setiap daerah bagi memberikan khidmat kaunseling serta bantuan farmakoterapi seperti alat gantian nikotin kepada yang memerlukan. Bagi yang berjaya berhenti, Inshaa Allah, pembaikan kepada kesihatan akan dapat dilihat dan dirasakan, serta risiko penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya juga akan menurun.”
     
    Beliau menambah, “Dalam kesempatan ini, sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025, Kementerian Kesihatan amat mengalu-alukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama memperkasa generasi muda di negara ini untuk berganding bahu dalam menentang industri tembakau daripada terpedaya dengan tipu helah mereka dan seterusnya sama-sama berusaha menjadikan Negara Brunei Darussalam kita bebas tembakau dan nikotin demi generasi masa depan yang lebih sihat.” 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda