Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan tinggalkan budak dalam kereta!

    Sehingga ke hari ini, masih ada kes di mana ada budak terperangkap di dalam kereta selepas ditinggalkan ‘sekejap’ oleh individu dewasa. Antaranya kerana ingin singgah ke kedai untuk hanya beberapa minit, terlupa dan pelbagai lagi.

    Akibat daripada situasi ini, ada juga kejadian di mana anak kecil tersebut meninggal dunia, sehingga menimbulkan penyesalan dalam hati ahli keluarga terdekat, meskipun diketahui ia bukan disengajakan.

    Sebagai masyarakat yang prihatin, kita sebenarnya boleh cuba menghulurkan bantuan jika ternampak ada kanak-kanak atau anak damit terperangkap di dalam kereta.

    Namun bagi memastikan keselamatan anak kecil itu lebih terjamin, proses menyelamat perlulah dilakukan dengan betul agar tidak menambah kesulitan dan mencederakannya.

    Jadi, apa sebenarnya yang perlu dan boleh awda lakukan jika ternampak budak terperangkap dalam kereta? Baca perkongsian dari blog BJAK ini untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenainya.

    Awda tidak boleh sewenang-wenangnya memecah cermin kereta. – Envato
    Gambar Envato
    Kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kereta boleh mengancam nyawanya termasuklah strok haba. – Envato

    Meskipun ada niat untuk menolong, namun awda perlu tahu bahawa awda tidak boleh sewenang-wenangnya memecahkan cermin kereta tersebut ya. Itu bagi mengelakkan awda disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di negara Malaysia.

    JADI, LANGKAH YANG TERBAIK AWDA BOLEH LAKUKAN ADALAH:

    CUBA CARI IBU BAPA ATU PENJAGA

    Sebaik sahaja awda ternampak ada anak kecil terperangkap di dalam kereta, sila lihat sekeliling dan cuba cari ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak tersebut. Cari di kedai atau tempat-tempat yang mungkin dituju oleh penjaganya dan tanya orang sekeliling sekiranya ada mengenali atau ternampak penjaga kanak-kanak berkenaan.

    Jangan berlengah dan cuba cari sebaik mungkin ya. Ini kerana kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kereta berdepan dengan risiko tinggi untuk mengalami beberapa perkara berbahaya yang boleh mengancam nyawanya termasuklah strok haba.

    HUBUNGI PIHAK BERKUASA

    Jika awda masih gagal mengesan penjaga kanak-kanak terbabit selepas beberapa ketika, segera hubungi pihak berkuasa untuk dapatkan bantuan.

    Sesetengah individu mungkin akan menganggap cara ini berlebihan, namun ini mungkin adalah cara yang terbaik. Pihak berkuasa boleh sampai ke tempat kejadian dengan cepat dan mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.

    TENANGKAN KANAK-KANAK TERSEBUT

    Sambil menunggu pihak berkuasa sampai, awda boleh cuba menenangkan anak kecil tersebut agar dirinya berasa selamat dan tidak berasa trauma dengan kejadian yang berlaku.

    Cuba hulurkan bantuan yang awda mampu (selain daripada memecahkan cermin tingkap kereta tersebut) untuk menyelamatkannya. Ingat, cuba pastikan anak kecil itu tidak panik dan menangis secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang lebih teruk.

    JIKA TERDESAK

    Jika awda mengesan kanak-kanak tersebut seolah-olah sudah tidak bermaya dan pintu masih belum berjaya dibuka (dan pihak berkuasa juga belum sampai), awda boleh cuba pecahkan cermin kereta yang paling jauh dengan kanak-kanak tersebut. Ini bagi mengelakkan kecederaan berlaku apabila cermin kereta dipecahkan.

    Namun kena ingat ya. Proses untuk pecahkan cermin kereta tidak mudah, jadi awda perlu terus mencuba dengan cara yang baik dan betul.

    Sekiranya awda berasa tidak mampu melakukannya seorang diri, dapatkan bantuan individu di sekitar awda.

    Jadi, sila jaga anak awda dengan sebaiknya. Ingat, walaupun tingkap kereta dibuka, ianya tidak membantu mengalirkan haba yang panas ke luar kereta. Haba yang terkumpul itu boleh menyebabkan seseorang itu diserang strok pada bila-bila masa.

    Bahkan dengan cuaca di Malaysia, suhu badan anak yang ditinggalkan di dalam kereta boleh meningkat sehingga 70 peratus dalam masa satu jam.

    Jadi, jangan sesekali kita ambil ringan kerana ianya sangat berbahaya untuk anak awda! – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda