Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Amalan sedekah berperanan penting dalam membentuk kesejahteraan hidup, bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada pemberi dari aspek mental, fizikal, emosional dan spiritual.
Sekiranya melalui sedekah masyarakat dapat dibangunkan, anak yatim terbela, para balu dan ibu tunggal diringankan beban serta golongan asnaf fakir miskin terbantu, maka semua ini akan melahirkan rasa kepuasan, nikmat kelapangan dada dan kesyukuran dalam diri pemberi.
Semua ini boleh dikaji untuk kita buktikan keberkesanan sedekah itu terhadap mental, fizikal, emosional dan spiritual.
Perkara itu ditekankan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan dan Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim semasa menyampaikan Ceramah Perdana Majlis Ilmu bertajuk Wanita dan Sedekah: Jangan Pernah Berpisah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.


Pengiran Dr Hajah Norkhairiah dalam ceramahnya turut menjelaskan hasil kajian menunjukkan sedekah berpotensi memberi kesan positif kepada kesihatan mental dan kebahagiaan seseorang, termasuk memberikan rasa puas, mengurangkan tekanan, meningkatkan kesejahteraan mental serta membina sahsiah dan kesyukuran.
Kajian itu turut membuktikan amalan sedekah mampu merawat sifat dengki, iri hati dan cemburu, seterusnya menjadikan sedekah sebagai satu pendekatan berkesan dalam mengatasi masalah psikologi dan memperkukuh hubungan rohani dengan Allah SWT.
Sekumpulan penyelidik Barat mendapati perbuatan memberi amal dan kerja-kerja kesukarelawanan dianggap sebagai tingkah laku menolong dan koperatif, yang mampu mengaktifkan litar otak serta sistem hormon hingga menimbulkan perasaan seronok, ketenangan dan dorongan untuk terus bermurah hati.
Beliau memetik kajian yang melibatkan 113 wanita yang sebelum ini kurang aktif secara fizikal, namun selepas melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan dalam komuniti setempat, tahap aktiviti fizikal mereka meningkat sebanyak 110 peratus.
Sekumpulan penyelidik Barat mendapati perbuatan memberi amal dan kerja-kerja kesukarelawanan dianggap sebagai tingkah laku menolong dan koperatif, yang mampu mengaktifkan litar otak serta sistem hormon hingga menimbulkan perasaan seronok, ketenangan dan dorongan untuk terus bermurah hati.
Beliau memetik kajian yang melibatkan 113 wanita yang sebelum ini kurang aktif secara fizikal, namun selepas melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan dalam komuniti setempat, tahap aktiviti fizikal mereka meningkat sebanyak 110 peratus.
“Bukti apa lagi yang kita mau cari, semuanya sudah terbukti dalam Al-Quran, hadis, malah kajian saintifik oleh penyelidik Muslim dan Barat. Seharusnya pembuktian-pembuktian ini dijadikan pembangkit kesedaran bahawa wanita mampu menjadi ejen perubahan dan pemacu berkat serta rahmat melalui amalan sedekah,” tegas beliau.
Menurut beliau, wanita Muslimah mampu menunjukkan bagaimana sedekah menjadi sebahagian daripada identiti dan kekuatan spiritual seorang wanita beriman, sebagaimana contoh kedermawanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan wanita hebat Islam.
Dalam konteks Brunei Darussalam, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah menjelaskan amalan sedekah telah menjadi tradisi dan budaya masyarakat, serta kini berkembang menjadi fenomena sosial dinamik hasil kemunculan platform digital mudah alih yang memudahkan orang ramai bersedekah dengan hanya beberapa klik di hujung jari.
“Sedekah bukan lagi hanya tentang memberi, tetapi juga tentang memperkasa dan membangun bersama,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan rakyat Brunei telah mencontohi sikap pemurah dan dermawan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang menjadi ulul amri dan teladan kepimpinan berasaskan nilai Islam.
Sikap dermawan dan lemah lembut Baginda mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui kurnia yang disampaikan oleh putera-puteri
Baginda kepada golongan kurang bernasib baik, khususnya pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Beliau menjelaskan bahawa sedekah tidak akan mengurangkan harta, malah menambah keberkatan dalam kasih sayang, rezeki serta perlindungan daripada bala bencana dan musibah.
Jika diamalkan secara berterusan dan konsisten, sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi, amalan sedekah akan terus menjadi kalimat suci yang disukai Allah SWT.
Dalam pada itu, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah turut mengingatkan kaum wanita mengenai sedekah wajib iaitu zakat harta, khususnya zakat emas.
Emas dianggap sebagai perhiasan wanita, namun apabila mencukupi syarat seperti haul dan nisab, ia wajib dizakatkan, termasuk emas simpanan atau perhiasan yang digunakan secara berganti-ganti melebihi kadar uruf sebanyak 850 gram yang ditetapkan di negara ini.
“Mudah-mudahan segala yang kita dermakan dan diinfakkan dengan tulus ikhlas diterima Allah SWT, dan mudah-mudahan kita akan mendapat keredaan, keberkatan, ganjaran pahala dan rahmat yang berterusan daripada Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.
Mengakhiri ceramah, beliau menyeru kaum wanita agar segera berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.
“Jangan tunggu kaya untuk bersedekah, tetapi bersedekahlah agar hati kita kaya dengan rasa syukur dan keimanan,” katanya.

