Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Janggal seorang wanita asing di bumi Afghanistan

    Oleh Nina Muslim

    KUALA LUMPUR – Berhijab atau mati.

    Sebelum saya berlepas ke Afghanistan untuk membuat laporan tentang bantuan kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia di sana, ramai yang khuatir saya akan dicederakan atau dibunuh.

    Ini kerana saya seorang wanita, dan Afghanistan pula di bawah pentadbiran Taliban yang diketahui dunia mempunyai rekod buruk berhubung hak kaum hawa.

    Selain itu, ada juga kebimbangan yang saya tidak akan dapat melakukan tugas dengan baik kerana tidak akan ada seorang lelaki Afghanistan yang mahu ditemu bual oleh saya.

    Apatah lagi setahu saya belum ada wartawan wanita dari Malaysia telah ke Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa. Ramai yang berasakan saya mencari bala.

    Jurnalis Bernama, Nurul Isnaini Mohd Muslim semasa bertugas di Afghanistan. – Bernama

    Kebimbangan terbabit tetap wujud sekalipun Taliban telah berjanji mereka akan memerintah secara sederhana dan tidak akan mengulangi kekejaman semasa kali pertama mentadbir Afghanistan, khususnya terhadap wanita yang tidak mematuhi undang-undang Islam berdasarkan kefahaman melampau mereka.

    Hakikat saya perlu bertudung bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Bagi memastikan saya tidak melanggar peraturan dan resam di sana, saya mendapatkan nasihat daripada beberapa orang pelarian Afghanistan di negara ini serta mereka yang baru kembali daripada misi kemanusiaan di negara itu. Kesemuanya menasihati saya agar memakai abaya atau jubah hitam Arab dengan kot musim sejuk labuh berwarna gelap.

    Namun realiti di sana adalah pelbagai. Walaupun kesemua wanitanya bertudung, keadaan tidak seperti yang saya bayangkan. Mereka sama ada berselendang sahaja atau bertudung litup dengan ada yang memakai abaya, sementara yang lain pula mengenakan burka biru – jubah biru tradisional Afghanistan yang menyelubungi keseluruhan tubuh si pemakai hingga langsung tidak dapat dikenali. Sesetengah wanita pula memakai kot berwarna-warni atau baju midi berserta ‘legging’ – sejenis sarung kaki.

    Bergaun atau berjubah sahaja

    Sejak tiba di Kabul pada 23 Februari, hanya sekali sahaja saya cuba mengabaikan abaya yang dibawa kerana jubah itu labuh dan menyukarkan per-gerakan. Sebaliknya, saya mengenakan kot musim sejuk separa lutut berwarna gelap, menutupi baju panas dan jean yang dipakai ketika mahu keluar mencari bahan berita di sekitar bandar raya kosmopolitan itu.

    Penterjemah saya, warga tempatan Hamid Wafa Said meminta saya kembali ke bilik dan menukar pakaian kepada abaya. “Anda akan jadi tumpuan nanti,” katanya.

    Namun saya hujahkan kepadanya ramai wanita di luar sana yang tidak memakai abaya atau burka. Jawapannya mudah – saya mungkin kelihatan seperti orang tempatan, tetapi hakikatnya saya adalah warga asing.

    Walaupun dia nampak macam tidak kisah tentang jaket saya, lain pula cerita-nya dengan jean yang dipakai. Dia melihat jean itu seolah-olah satu penghinaan yang besar terhadapnya. Namun bila difikirkan kembali, tidak ada seorang pun wanita yang tidak berabaya atau berburka itu mengenakan seluar panjang. Mungkinkah itu puncanya?

    Kali kedua soal pakaian dan gender saya menjadi isu adalah ketika kami ke Wilayah Nangarhar, sebuah kawasan konservatif dan bermasalah yang bersempadan dengan Pakistan, serta pernah menempatkan kem latihan Al Qaeda selain pernah dikuasai oleh militan ISIS.

    Hari itu adalah hari kelima saya di Afghanistan. Kebanyakan bantuan kemanusiaan bertumpu di Kabul dan hari itu adalah kali pertama kami berada di luar bandar raya berkenaan yang kononnya adalah pusat toleransi dan modenisme di sebuah negara yang amat tradisional dan konservatif ini.

    Saya satu-satunya wanita dalam de-legasi Malaysia yang merangkumi wakil daripada Global Peace Mission Malaysia (GPM), MyCare, syarikat gaya hidup Islam GISB Holdings dan rakan kongsi tempatan. Mereka merancang untuk menghantar bantuan makanan kepada 150 keluarga di Wilayah Nangarhar – kebanyakannya adalah balu dan anak yatim atau mangsa perang.

    Disebabkan saya satu-satunya wanita dalam kumpulan itu bermakna akan wujud beberapa masalah kebudayaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin menarik saya ke tepi sebelum kami memulakan perjalanan. Tempat yang dituju itu amat konservatif, katanya, jadi boleh tak kalau saya berselubung litup?

    “Pastikan tak nampak rambut,” katanya, merujuk pada tabiat saya yang hanya berselendang di Kabul.

    Saya tidak kisah bertudung litup namun saya tidak mahu berburka. Justeru, saya gantikan selendang dengan tudung hitam milik ibu saya dan memakai abaya serta pelitup muka.

    Selepas mengenakan cermin mata hitam yang besar, hanya sedikit sahaja kulit saya yang terdedah – iaitu sebahagian kecil dahi, pipi dan tangan. Justeru, tidak mungkin saya boleh bangkitkan nafsu lelaki melainkan dia memang kemaruk susuk tinggi berselubung hitam yang memakai rompi bertulisan Bernama dan membawa beg kanvas lusuh sarat dengan peralatan kamera.

    Akan tetapi, sejujurnya saya tidak pernah bertemu dengan golongan lelaki yang begitu taksub dengan pakaian wanita, kecuali semasa Minggu Fesyen Paris.

    Masalah ketika makan

    Kami berhenti di sebuah restoran untuk bersarapan, dan sekali lagi isu gender saya timbul. Di mana saya harus duduk? Di Kabul, saya selalunya duduk bersama-sama lelaki ketika kami makan tengah hari atau malam. Namun, ini Nangarhar.

    Tiada seorang pun yang mahu mencetuskan kemarahan masyarakat setempat dengan membenarkan seorang wanita makan bersama-sama lelaki, namun pada masa sama tidak ada pula yang mahu memberitahu saya agar duduk di tempat lain. Lantas saya ambil keputusan sendiri dan duduk di sofa berhampiran meja mereka, serta bersedia untuk membidas sekiranya ada yang berani menegur. Tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian.

    Fasa terakhir perjalanan ditempuhi tanpa sebarang insiden.

    Setelah tiba di sekolah di mana agihan bantuan dijalankan, saya bertanya kepada kumpulan wanita di situ tentang hak mereka dan sama ada mereka bimbang akan kehilangan kebebasan. Saya juga bertanya sama ada mereka memang sentiasa berburka.

    Kebanyakannya teruja untuk bercerita tentang kisah mereka. Kesemuanya balu, dan melalui penterjemah setempat, mereka mengakui tidak kisah memakai burka kerana itu pakaian tradisional mereka. Bagi mereka soal makanan lebih penting berbanding kebebasan.

    Pengunduran tentera AS Ogos tahun lepas, turut mencetuskan sekatan antarabangsa, menambah lagi penderitaan. Menurut PBB, kira-kira 95 peratus penduduk Afghanistan tidak cukup makan dengan 8.5 juta lagi kebuluran.

    Tiba waktu makan tengah hari, dan sekali lagi isu tempat duduk saya timbul. Kali ini bukan hanya delegasi Malaysia, tetapi turut disertai wakil rakan kongsi tempatan GPM, iaitu Ehsas Welfare and Social Services Organisation (EWSSO).

    “Anda harus ke tingkat atas dan makan di sana,” kata Rahim, warga Afghanistan yang berperanan sebagai perantara kami, selepas dia bercakap dengan beberapa lelaki. Saya menolak. Saya katakan kepadanya yang saya tidak akan makan bersendirian di tempat asing. Dia kemudian melihat sekeliling dan wakil EWSSO mengalah.

    Keselamatan, keamanan

    Sepanjang mengharungi perjalanan sejauh 800 kilometer merentasi banjaran gunung dikenali Hindu Kush itu, soal keselamatan sentiasa berlegar dalam fikiran saya.

    Sejak berdekad lalu, berita-berita tentang Afghanistan sentiasa tentang kematian – sama ada tentera mujahidin, Soviet Union, Taliban atau AS. Namun, terselit sama ialah kematian rakyat biasa seperti jemaah lelaki terbunuh semasa bersolat Jumaat, wanita terkorban ketika membeli makanan atau kanak-kanak maut di sekolah.

    Bimbang saya juga akan mengikut jejak mereka, mata saya sentiasa melingas dan meneliti dengan tajam sebarang objek yang agak mencurigakan – bimbang kalau-kalau benda itu peranti letupan buatan sendiri atau IED.

    Bagaimanapun tahap keselamatan di Afghanistan sebenarnya bertambah baik sejak Taliban mengambil alih kuasa. Namun kata seorang rakan, memang lebih mudah untuk pengganas mewujudkan suasana selamat berbanding pasukan pengaman – mereka cuma perlu hentikan serangan.

    Sejak Taliban berkuasa, pengeboman dan serangan harian semakin berkurangan, namun ramai warga Afghanistan yang saya temui berkata mereka tidak berasa selamat. Lebih-lebih lagi wanita dengan kebanyakannya telah hilang pekerjaan, dan mereka kini bimbang akan kehilangan lebih banyak lagi perkara yang sebelum ini dibenarkan buat mereka.

    Sejak beberapa bulan lepas, aktivis wanita dilaporkan ditahan kerana membuat bantahan tentang sekatan ke atas mereka, antaranya mensyaratkan mereka berburka. Sesetengah pula menerima ugutan maut.

    Apabila saya bertanya sama ada saya juga perlu berasa bimbang, mereka kata: “Anda tidak akan apa-apa. Anda warga asing dan rakyat Malaysia pula tu.”

    Telahan mereka nyata tepat.

    Berbanding jangkaan, saya tidak berdepan masalah menemu bual lelaki di Afghanistan. Apabila delegasi Malaysia bertemu dengan Taliban, saya juga ikut serta, duduk bersebelahan pengikut Taliban yang begitu sopan dan menawarkan saya kek serta teh. Saya mengajukan soalan-soalan tentang hak wanita kepada mereka, tindak balas terhadap bekas pekerja kerajaan terdahulu yang disokong oleh AS serta komitmen mereka untuk menjadi sebahagian daripada komuniti antarabangsa.

    Daripada ramai pengikut Taliban yang saya temu bual, hanya seorang sahaja yang enggan bercakap dengan saya sekalipun sudah ada janji temu.

    Selain itu, lelaki bukan pengikut Taliban pula tidak ada masalah bercakap dengan saya. Beberapa orang daripada mereka pernah bekerja dengan kerajaan terdahulu. Sesetengahnya kembali bekerja di kementerian di bawah Taliban, sementara yang lain pula tidak diberikan pilihan itu. Namun kesemua mereka bimbang tentang kelangsungan hidup masing-masing, sama ada akibat kebuluran mahupun tindakan balas Taliban.

    Nidol (nama gelaran), seorang lelaki Afghanistan berbadan tegap yang saya temui di sebuah pasar raya, berkata dia pernah bekerja di pangkalan tentera AS di Wilayah Khost. Kini, dia dan keluarga cuba sedaya upaya untuk tidak menonjolkan diri kerana takut akan tindakan balas Taliban, sambil menunggu AS mengeluarkan mereka dari negara itu.

    Saya tanyakan kepadanya tentang janji Taliban untuk memberi pengampunan kepada mereka yang pernah bekerja dengan kerajaan terdahulu dan tentera AS. Dia mencemuh, jelas tidak percaya dengan janji tersebut kerana katanya terlalu banyak cerita yang didengarinya tentang rakan setugas diseksa dan dibunuh, walaupun dia tidak pasti sama ada cerita itu benar atau tidak.

    “Jika mereka ikhlas, kenapa saya tidak boleh pulang untuk menziarahi ibu bapa saya di Khost?” tanya lelaki itu.

    Perkara hampir serupa turut dikongsikan oleh beberapa lelaki lain. Walaupun ramai yang tidak begitu suka dengan kerajaan terdahulu, mereka bimbang Taliban tidak akan dapat mempertahankan keselamatan dalam negara kerana ISIS dan Northern Alliance sedang menunggu masa untuk bertindak. Kini, pengawal Taliban sibuk melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mencari senjata disorokkan.

    “The fighting starts when snow melts,” kata seorang ahli perniagaan, mengulangi pepatah yang bermakna peperangan akan tercetus sebaik sahaja musim sejuk berakhir. Dia bimbang tidak akan sempat meninggalkan negara itu apabila perang tercetus. Ketika saya berlepas pulang ke tanah air pada 3 Mac lalu, matahari sedang bersinar terang di Kabul dan sisa-sisa salji yang masih ada juga sudah mula mencair. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...