Thursday, December 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangkitan bakteria punca kematian gajah di Pakistan

    ISLAMABAD, 18 DIS – Pakar veterinar di Pakistan mendapati jangkitan bakteria menjadi punca kematian seekor gajah di taman safari Karachi awal bulan ini, menurut seorang pakar daripada organisasi kesejahteraan haiwan global, Four Paws, hari ini.

    Dr Amir Khalil dari organisasi berpangkalan di Vienna itu berkata jangkitan tersebut merebak ke seluruh tubuh Sonia, gajah berusia 19 tahun, bermula daripada kakinya.

    Penemuan itu menimbulkan persoalan terhadap pengurusan haiwan oleh pihak berkuasa Pakistan kerana jangkitan sedemikian tidak berlaku dalam tempoh sehari.

    “Kami amat berduka dengan kematian Sonia,” katanya kepada Associated Press.

    Dalam kenyataan rasmi, Four Paws menjelaskan bedah siasat yang dilakukan minggu lalu menunjukkan kematian Sonia adalah akibat ‘persekitaran yang tidak sesuai dengan spesiesnya serta kekurangan zat makanan yang berpanjangan… Keputusan itu sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk pengurusan gajah yang lebih baik.’

    Namun, tiada kenyataan segera dikeluarkan daripada pihak berkuasa Pakistan.

    Menurut Dana Hidupan Liar Dunia (WWF), jangka hayat purata gajah Afrika adalah antara 60 hingga 70 tahun di habitat liar, manakala dalam kurungan, ia lebih pendek.

    Sonia, seekor gajah dewasa bersaiz kecil, tiba di Pakistan pada 2009 bersama tiga ekor gajah lain. Salah seekor rakannya, Noor Jahan, mati tahun lalu di Zoo Karachi pada usia 17 tahun.

    Sonia baru-baru ini disatukan semula dengan saudaranya, Madhubala, yang telah dipindahkan dari Taman Zoologi Karachi bulan lalu untuk bersama keluarganya. Madhubala telah dipisahkan daripada Sonia dan Malika kira-kira 15 tahun lalu.

    Menurut Four Paws, keputusan mikrobiologi bedah siasat menunjukkan kehadiran pelbagai bakteria, berpunca daripada abses yang teruk pada kaki Sonia, yang baru-baru ini dikenal pasti dan dirawat. – AP

    Beberapa ekor gajah kelihatan di taman safari di Karachi, Pakistan, pada 8 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda