PARIS, 30 APRIL – Jangkitan COVID-19 di seluruh dunia melepasi 151 juta kes setakat ini, dengan peningkatan kes baru-baru ini disebabkan gelombang kedua di India.
Data rasmi AFP menunjukkan 151,143,582 kes jangkitan direkodkan sejak virus itu pertama kali dikesan di China pada Disember 2019.
Di seluruh dunia, jumlah jangkitan harian baharu meningkat dua kali ganda sejak pertengahan Februari.
Selepas gelombang kedua dari Oktober hingga Januari, angka itu meningkat melebihi 350,000 kes sehari dan kini mencecah 821,000 kes sehari.
Di India, 2.5 juta kes dikesan dalam tujuh hari terakhir iaitu purata harian sebanyak 357,000 kes, 30 kali lebih tinggi berbanding pertengahan Februari lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lonjakan kes disebabkan oleh varian virus baharu dan kegagalan mengikuti langkah pencegahan.
Negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia ialah Amerika Syarikat (32.3 juta), India (18.8 juta) dan Brazil (14.6 juta).
Disebabkan oleh India, Asia menjadi benua di mana kebanyakan kes harian baharu muncul dan ia semakin cepat menular dengan kes meningkat 28 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Sejak penemuan virus, lebih daripada satu pertiga kes di seluruh dunia direkodkan di Eropah iaitu lebih daripada 50.2 juta kes.
Hampir 3.2 juta kematian yang berkaitan COVID-19 direkodkan di seluruh dunia setakat ini. – AFP