Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 201 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya, 168 kes sehari.
Pada hari ini, sebanyak 202 kes baharu dilaporkan, kesemuanya daripada hasil ujian ART dan tidak ada kes telah dikesan dari ujian-ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Dalam siaran akhbar dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,878 keputusan ujian ART dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 7.4 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Tiada kes di dalam kategori 5 manakala dua kes di dalam kategori 4.
Selain itu, sehingga kelmarin, 26 Mac, kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79.1 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 12.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.