Jangkitan di Indonesia cecah 400,000

JAKARTA, 28 OKT – Kes jangkitan COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 400,000 selepas mencatatkan 4,029 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Bagaimanapun sebanyak 325,793 pesakit daripada 400,483 yang disahkan positif virus itu, telah sembuh daripada jangkitan berkenaan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 169,833 lagi pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 100 lagi kematian dicatatkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 13,612 orang. – Bernama