Jangkitan Indonesia kini 278,722, kematian 10,473

JAKARTA, 28 SEPT – Indonesia mencatatkan 3,509 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 278,722 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, seramai 131,361 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 87 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 10,473 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 71,339 kes, dengan tambahan 898 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,138 orang, diikuti Jakarta (1,695), Jawa Tengah (1,397) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama