Jangkitan meningkat, Iran gesa pakai penutup mulut dan hidung

TEHRAN, 24 JUN – Seorang pegawai Iran meminta pemakaian topeng diwajibkan selepas negara itu hari ini melaporkan jumlah kematian koronavirus tertinggi dalam lebih dari dua bulan setengah.

“Sudah tentu pemakaian penutup mulut dan hidung diperlukan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Alireza Raisi.

“Jika kita menggunakannya, terutama di tempat tertutup dan tempat berhimpun, kita dapat mengurangi penyebaran virus,” tambahnya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Iran melaporkan kes COVID-19 pertamanya pada 19 Februari, dan sejak itu berjuang untuk mengekang penularan wabak dengan jumlah kematian kini hampir 10,000.

Pihaknya tidak melakukan lockdown secara mandatori kepada orang ramai untuk mengekang penularan virus, dan penggunaan penutup mulut dan hidung serta alat pelindung adalah pilihan di kebanyakan wilayah.

Republik Islam itu menutup sekolah, membatalkan acara awam dan melarang perjalanan antara 31 wilayahnya pada bulan Mac, tetapi kerajaan secara beransur-ansur melonggarkan sekatan dari April dalam usaha untuk membuka semula ekonominya yang terjejas.

Angka rasmi menunjukkan trajektori yang meningkat dalam kes baharu yang disahkan sejak awal Mei, ketika Iran mencapai tahap terrendah hampir dua bulan dalam jumlah jangkitan yang dicatatkan setiap hari.

Jurucakap kementerian kesihatan Sima Sadat Lari mengatakan hari ini bahawa 133 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir dicatatkan, menjadikan jumlah kematian virus di seluruh negara kepada 9,996 orang.

Jumlah tersebut merupakan angka kematian tertinggi di Iran sejak 6 April, ketika kerajaan melaporkan 136 kematian akibat virus. – AFP

Penduduk Iran menggunakan penutup mulut dan hidung ketika berada di pusat membeli-belah di Tehran. Seorang pegawai Iran meminta pemakaian topeng diwajibkan selepas negara itu melaporkan jumlah kematian koronavirus tertinggi dalam lebih dari dua setengah bulan. – AFP