Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Janji satu amanah, wajib ditunaikan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Agama Islam amat menekankan kewajipan menepati dan menyempurnakan janji kerana ia adalah lambang kepada kejujuran, kepercayaan dan kebersihan hati seseorang.

    Perlu diingat bahawa janji itu ringan dan mudah untuk diucapkan namun ia berat untuk ditunaikan.

    Sesungguhnya kita hidup di dunia ini akan sentiasa terikat dengan janji, sama ada janji kepada Allah SWT, janji kepada Rasulullah SAW dan seterusnya janji kepada orang lain.

    Adapun yang dimaksudkan dengan janji kepada Allah SWT itu adalah beribadat kepadaNya, manakala janji yang dimaksudkan kepada Rasulullah SAW itu adalah mengikuti segala perjalanan, sirah dan kehidupan Baginda.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh khatib semasa menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Janji: Ringan Diucapkan Berat Ditunaikan, hari ini.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Oleh yang demikian, apabila seseorang itu berhasil menepati janji kepada Allah SWT dan RasulNya, maka dia pula pasti akan berhasil menepati janji kepada lainnya.

    Sebaliknya, apabila dia gagal memenuhi janji kepada Allah SWT dan RasulNya, maka dia adalah orang yang tidak memegang amanah, sedangkan menunaikan janji itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berakhlak mulia dan bertakwa,” tegas khatib.

    Khatib turut menekankan janji adalah amanah yang wajib kita tunaikan selama mana ia bukan perkara maksiat.

    Janji tidak dapat kita ambil ringan dan ambil remeh. Ini kerana perbuatan meringan-ringankan janji apatah lagi tidak menepati janjinya adalah perbuatan yang dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT.

    Tegas khatib, sesungguhnya orang-orang yang beriman tidak akan cuai dan tidak akan sekali-kali mengkhianati janjinya, sekalipun berbeza agama mahupun berbeza bangsa. Ini kerana orang yang mengkhianati janji itu bererti dia tidak amanah, malah tergolong ke dalam orang-orang munafik.

    Oleh itu, khatib turut mengingatkan bahawa janganlah kita mudah membuat janji, lebih-lebih lagi sekiranya janji itu sukar untuk ditepati ataupun sukar untuk dipenuhi. Ini kerana setiap perjanjian itu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di hari kiamat kelak.

    Dalam pada itu, khatib juga menekankan memandangkan janji itu merupakan satu amanah dan mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar, maka kerana itu agama kita telah menentukan perkara yang perlu kita lakukan apabila membuat janji iaitu dengan mengucapkan lafaz In shaa Allah apabila berjanji.

    Sebelum mengakhiri khutbah Jumaat, khatib turut mengingatkan kepada seluruh kaum muslimin betapa agama Islam sangat mengambil berat perihal janji.

    Oleh yang demikian, berhati-hatilah sebelum berjanji.

    Jadikanlah diri kita memiliki ciri-ciri orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukan daripada orang-orang yang mungkir janji yang tergolong dalam golongan orang-orang munafik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda