Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Sebuah band tempatan yang dikenali sebagai Titanz melahirkan perasaan gembira cukup teruja dengan kemunculan lagu mereka Janji yang kini telah mula diperdengarkan di corong radio.
Lagu terbaru ini adalah merupakan usaha sama antara Kumpulan Titanz dengan komposer Malaysia, Kautsar dan Zahid AF yang telah dirakamkan di Studio Kalsa dan studio rakaman Kamar Seni di Malaysia.
Menurut pemain gitar Titanz, Jal, dalam temu bual ringkas bersama pihak media menyatakan lagu terbaharu ini adalah usaha berterusan mereka dalam memperkembangkan lagi kemahiran mereka dalam industri muzik tempatan.
Lagu berkenaan juga diharap akan dapat menembusi pasaran industri bukan sahaja di negara ini malah di negara Malaysia dan pasaran serantau dalam membangunkan serta mengharumkan nama negara.
Beliau juga menambah, antara lagu-lagu yang telah dikeluarkan oleh Titanz sebelum lagu Janji adalah Misteri Cinta, yang berjaya mendapat anugerah Lagu Terbaik dalam Anugerah Pelangi 2015/2016, Apa yang Kau Rasa, Cerita Kau dan Aku dan banyak lagi.


Selain daripada lagu genre rock komersial, Titanz juga menghasilkan lagu Ramadan dan Hari Raya seperti Mohon Seribu Kemaafan, Ya Ramadan, Ramadan Kareem dan Syawal Datang Lagi.
Dengan lagu terbaharu ini, mereka berharap akan mendapat sambutan orang ramai yang baik seperti sambutan yang telah diterima daripada para peminat mereka bagi lagu Misteri Cinta.
Titanz juga ingin mengucapkan terima kasih terhadap penaja utama mereka, Haji Elmy Esmady bin Haji Maidin dari Kabin Kafe dan Pengiran Abdullah bin Pengiran Haji Othman yang telah memberikan sokongan dan dorongan yang tidak putus-putus dalam menjayakan penghasilan lagu Janji.
Titanz Band adalah terdiri daripada pengurusnya, Sharin; pemimpin pemain gitar, Jal; pemain gitar Bass, Jury Yusoef; pemain dram, Bboy dan penyanyinya, Leehin.