Niat baik pelakon Janna Nick untuk membina sebuah pusat tahfiz dan anak yatim mengundang pertikaian dalam kalangan warganet.
Mereka mempertikaikan sama ada boleh atau tidak Janna meneruskan niatnya itu dengan menggunakan duit hasil titik peluhnya sebagai anak seni.
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah bebas PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 40, berkata bahawa manusia tidak berhak menilai tentang halal dan haram pendapatan seseorang.
Malah, PU Syed menyokong tindakan pelakon itu dalam melakukan amal kebajikan sebegini.
“Bukan bidang kita untuk mempertikaikan hasil kerja dia. Niat dia hendak buat perkara itu sangat baik dan kita harus beri sokongan. Semoga niat tersebut akan mengubah hidup dia dan juga sahabat-sahabat yang lain,” katanya kepada mStar.
Terdahulu, Janna, 27, berkongsi satu hantaran di laman Instagram miliknya bertanya pendapat orang ramai adakah duit hasil kerjanya selama ini adalah satu sumber yang haram.
Sebelum ini, Janna meluahkan hasrat untuk membina sebuah pusat tahfiz yang diberi nama Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah di Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.
Melihat kepada komen-komen negatif terhadap usaha tersebut, PU Syed berharap agar warganet bertenang dan bersikap lebih matang.
“Kita kena berfikiran matang. Apa yang dia nak lakukan adalah perkara halal. Melahirkan orang-orang yang menghafal al-Quran itu adalah besar ganjarannya,” jelasnya. – Agensi