Janna Nick dikecam warganet gara-gara menyebut perkataan ‘perempuan gila’ semasa mengajukan soalan kepada aktor Fattah Amin baru-baru ini.
Rata-rata warganet mendakwa perkataan perempuan gila itu merujuk kepada bekas isteri aktor berkenaan iaitu aktres Fazura sekali gus menyifatkan Janna tidak menghormati kaum wanita, menurut laporan mStar.
Tampil menjawab perkara itu, Janna atau nama Nurul Jannah Muner, 30, memberitahu terdapat salah faham mengenai soalan tersebut.
Menurut Janna, soalan berkenaan merujuk kepada situasi umum yang dirasai kaum lelaki selepas berpisah atau bercerai dengan isteri mereka.
“Jangan disebabkan tak suka seseorang jadi berat sebelah, korang cipta sesuatu yang terang-terangan tiada.
“Korang kata saya cakap Fazura ‘perempuan gila’. Yang gila itu itu saya! Saya yang gila diperakui.
“Saya bagi soalan contoh situasi umum seorang lelaki dan tak faham dan cakap saya ini hina perempuan, hina orang sudah bercerai,” katanya menerusi sebuah video di TikTok.
Jelasnya dia tidak mempunyai niat lain selain ingin mengetahui perasaan dan kebebasan sebenar seorang lelaki yang sudah bercerai.
Tambah pelakon ini, dia juga sangat memahami situasi sebegitu memandang ibu bapanya juga sudah berpisah.
“Ibu saya juga wanita yang diceraikan. Saya sangat faham perasaan perempuan yang ditinggalkan. Saya tidak akan menghina seorang wanita dan ibu.
“Saya rasa ada sesetengah lelaki atau ayah lepas tangan bila sudah berpisah, jadi saya nak tahu mereka ini rasa bebas ke bila bercerai? Bebas daripada tanggungjawab.
“Bebas daripada anak bini yang menyerabutkan otak mereka atau bebas daripada anak bini yang membebankan mereka selama perkahwinan?
“Saya nak tahu macam itu ke mereka rasa sebab itu saya guna terma perempuan gila. Saya nak tahu perspektif lelaki yang rimas dengan bekas isteri. Maksudnya lelaki rasa perempuan ini gila ke bila mereka sudah berpisah,” jelasnya.
Menyedari soalan yang diajukan agak kasar, Janna dengan merendah diri memohon maaf atas keterlanjuran tersebut.
Namun dia hanya menjalankan tugas sebagai pengacara di program Melodi Extra yang mengetengahkan isu-isu panas selebriti.
“Saya tahu soalan saya mungkin agak direct dan tidak sesuai untuk sesetengah pihak. Saya pun tahu soalan saya mungkin sensitif bagi pihak Fattah tapi itulah tanggungjawab dan tugas saya.
“Ada banyak soalan baik yang saya tanya tapi ramai tak highlight. Apa-apa pun saya minta maaf seandainya cara saya ajukan soalan itu ada buat mana-mana pihak terguris hati jadi saya minta maaf,” ujarnya. – Agensi
