Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jantung berusia 380 juta tahun ditemui

    AUSTRALIA, 16 SEPT – Penyelidik Australia telah menemui jantung berusia 380 juta tahun pada fosil ikan prasejarah yang telah lama pupus dan diberi nama Gogo (gambar ilustrasi artis-Agensi), menjadikan ia detik penting dalam evolusi organ berkenaan yang terdapat pada semua haiwan vertebrata dan manusia.

    Ketua saintis, Profesor Kate Trinajstic dari Curtin University di Perth memberitahu mengenai saat dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka telah membuat penemuan terbesar dalam hidup mereka.

    “Biasanya, tulang yang bertukar menjadi fosil, dan bukannya tisu lembut. Tetapi di sebuah lokasi ini di Kimberley, dikenali sebagai batuan Gogo, elemen mineral telah mengekalkan banyak organ dalaman ikan, termasuk hati, perut, usus dan jantung.

    “Ini adalah detik penting dalam evolusi kita,” kata Trinajstic.

    Menurut laporan BBC, ikan Gogo adalah yang pertama dari kelas ikan prasejarah yang dipanggil placoderm. Ia mempunyai rahang dan gigi serta boleh membesar sehingga 29.5 kaki. Ia merupakan hidupan dominan bumi selama 60 tahun, wujud lebih daripada 100 juta tahun sebelum dinosaur.

    Imbasan 3D fosil ikan Gogo menunjukkan bahawa jantungnya lebih kompleks daripada yang dijangkakan untuk ikan primitif. Ia mempunyai dua ruang di atas satu sama lain, struktur yang serupa dengan jantung manusia.

    Penyelidik menyimpulkan bahawa ia adalah faktor yang menjadikan jantung haiwan itu lebih cekap dan adalah langkah kritikal yang mengubahnya daripada ikan yang bergerak perlahan kepada pemangsa yang bergerak pantas.

    Pemerhatian penting lain ialah kedudukan jantungnya berada lebih hadapan berbanding ikan yang lebih primitif. Kedudukan ini dikaitkan dengan bentuk leher ikan Gogo dan memberi ruang untuk paru-paru. – Xinhua/Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda