Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jantung Ku, Jantung Mu’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia dan di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular merupakan penyebab kematian kedua tertinggi yang menyumbang kepada 29 peratus punca kematian pada 2017.

    Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penyakit jantung berlaku hanya pada usia tua, namun hakikatnya, jumlah dan kadar kematian penyakit ini dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 75 tahun semakin meningkat.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar berkata, trend ini amat membimbangkan kerana semakin ramai antara pesakit menghidap simptom atau gejala penyakit jantung pada usia yang lebih muda.

    Tambahan lagi, kalangan semua kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular pada 2017, lebih 40 peratus adalah kematian pramatang iaitu dalam kalangan mereka yang berumur 35 ke 64 tahun, menurut beliau lagi dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2018.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, penyakit kardiovaskular mempunyai beberapa faktor risiko yang kebanyakannya dapat dicegah atau dirawat dengan efektif jika ia dikesan awal.

    Di negara ini, faktor-faktor risiko utama termasuklah obesiti, gaya hidup yang tidak aktif, merokok, pengambilan pemakanan yang tidak seimbang, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes atau kencing manis.

    Sehubungan dengan itu, Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 September setiap tahun merupakan salah satu platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan pada masa yang sama mengingatkan semua bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung.

    Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Jantung Ku, Jantung Mu’ yang memfokuskan kepada penjagaan kesihatan jantung sendiri dan kesihatan jantung orang-orang yang disayangi.

    Tambah beliau lagi, kempen kali ini menyeru orang ramai untuk berjanji; berjanji untuk diri sendiri iaitu secara individu untuk menjadi lebih aktif, tidak merokok serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang; sebagai profesional penjagaan kesihatan iaitu untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa; atau sebagai penggubal dasar-dasar iaitu untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit-penyakit tidak berjangkit atau strategi-strategi yang boleh memberikan impak kesihatan pada diri dan orang-orang yang disayangi.

    “Janji yang mudah…demi kesihatan jantung sendiri, kesihatan jantung awda, dan kesihatan jantung kita semua,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan hanya melakukan beberapa perubahan dalam kehidupan harian yang bukan saja akan memberikan manfaat kepada kesihatan jantung kita sekarang, malah juga di masa akan datang.

    “Untuk memperingati Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjaga kesihatan jantung kita.”

    Tiga langkah mudah yang boleh mencegah penyakit jantung adalah berjanji untuk mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang dengan minum lebih banyak air dan mengurangkan pengambilan minuman bergula, mengambil buah-buahan segar sebagai pilihan alternatif lebih sihat dan memakan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari, serta mengehadkan pengambilan makanan yang diproses yang selalunya mengandungi garam, gula dan lemak yang tinggi.

    Langkah kedua adalah berjanji untuk lebih aktif dengan melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana (seperti berjalan pantas) sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit lima kali seminggu dan berjanji untuk tidak merokok yang mana, berhenti atau mengelakkan daripada merokok adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesihatan jantung.

    “Kunjungilah Klinik Berhenti Merokok di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat serta bantuan berhenti merokok,” beliau menasihatkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda