Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JAPEM peduli warga emas uzur

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan KKBS

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) terus mengungkayahkan penyampaian bantuan lampin pakai buang dan susu kepada penerima dalam kalangan warga emas yang berkeadaan uzur (bed ridden) serta kurang kemampuan dengan kali ini secara in-kind.

    Melalui kaedah pemberian secara in-kind, pegawai-pegawai JAPEM sendiri akan menyampaikan lampin pakai buang dan susu secara langsung kepada para penerima di rumah kediaman warga emas yang menerima bantuan di keempat-empat daerah menurut garis panduan yang ditetapkan.

    Kaedah pengagihan ini membolehkan pihak JAPEM untuk lebih prihatin dengan melihat sendiri keadaan kehidupan warga emas dan seterusnya menangani kemaslahatan mereka.

    Pada masa ini, seramai 86 orang warga emas menerima bantuan bulanan bagi lampin pakai buang dan minuman susu sebagai keperluan asasi harian mereka. Daripada jumlah berkenaan, 31 orang warga emas menerima bantuan bulanan bagi lampin pakai buang, 33 orang warga emas menerima bantuan bulanan bagi minuman susu dan 22 orang warga emas lagi menerima bantuan bulanan bagi kedua-dua keperluan tersebut.

    Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan keutamaan pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan tiada ketirisan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk warga emas yang kurang bernasib baik di Negara Brunei Darussalam menurut garis panduan yang ditetapkan.

    Ke arah ini, pihak kerajaan akan terus memastikan bantuan yang diagihkan akan digunakan sewajarnya bagi memenuhi keperluan-keperluan khusus warga emas agar kualiti kehidupan mereka akan terus terjamin.

    ATAS & BAWAH: Pegawai-pegawai JAPEM menyampaikan lampin pakai buang dan susu secara langsung kepada para penerima di rumah kediaman warga emas yang menerima bantuan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda