Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Dalam usaha untuk menyokong operasi Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam menyampaikan sumbangan derma wang tunai $1,000 berserta barangan bantuan kepada JAPEM dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Bangunan KKBS hari ini.
Pada majlis berkenaan, Duta Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada Penolong Pengarah JAPEM, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani.
Sumbangan itu merupakan aktiviti kesukarelaan yang dikendalikan oleh Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam bersempena dengan ulang tahun hari puja usia His Majesty King Bhumipol Adulyadej The Great, Hari Kebangsaan Thailand dan Hari Ayah Thailand pada 5 Disember lalu.
Semasa majlis berkenaan, PYT Boosara Kanchanalai bersama-sama dengan pegawai dan kakitangan daripada Pasukan Thailand di Negara Brunei Darussalam menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan makanan yang dihasratkan untuk menyokong operasi Rumah Kebajikan.