MONACO, 17 Ogos – Jurulatih Monaco, Leonardo Jardim mendakwa bahawa bintang penyerang Kylian Mbappe berada di bangku simpanan hujung minggu lepas adalah kerana untuk ‘melindunginya’ berbanding sebagai satu hukuman.
Pemain berusia 18 tahun itu telah dilaporkan mahu meninggalkan juara Perancis itu, dengan Paris Saint-Germain (PSG) menjadi destinasi pilihannya tetapi Real Madrid juga dilaporkan bersedia untuk membayar 180 juta euro untuk khidmatnya.
Jardim berkata selepas perlawanan itu bahawa menempatkan Mbappe di bangku simpanan adalah ‘keputusan yang dibuat oleh kelab’ tetapi jurulatih dari Portugal itu memberitahu media bahawa ia bukan dibuat sebagai hukuman ke atas pemain antarabangsa Perancis itu.
“Kami tidak pernah menghukum pemain-pemain kami. Perkataan ‘melindungi’ lebih bagus. Apabila terlalu banyak perkara terjadi ke atas remaja berusia 18 tahun, ia adalah tanggungjawab kami untuk melindunginya,” kata Jardim.
“Itu bermakna saya, Vadim (Vasilyev, timbalan presiden) dan pengarah sukan (Antonio Cordon. Selalu melindungi skuad, pemain dan kelab.
“Kylian tidak berada di tahap 100 peratus. Dia tidak berada dalam prestasi yang baik. Tetapi itu memang dijangka dari pemain yang baru berusia 18 tahun, meskipun anda (wartawan), jika esok sebuah lagi akhbar menawarkan anda kontrak di mana anda boleh meraih pendapatakan 15 kali ganda, anda pasti tidak tentu rasa ketika menekan papan kekunci komputer anda,” katanya tersenyum.
Mbappe, yang mana kontraknya bersama Monaco sah sehingga Jun 2019, mungkin diketepikan daripada skuad yang berkunjung ke Metz bagi aksi liga minggu ini. – AFP