MUNICH, 26 April – Real Madrid kini mara selangkah untuk menjulang gelaran ketiga Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut selepas Marco Asensio meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich dalam aksi pertama separuh akhir, awal pagi tadi.
Pemain berusia 22 tahun itu masuk selaku pemain gantian kemudian meledak gol berpunca daripada serangan balas pantas untuk mengesahkan kemenangan, memberikan Real kelebihan semasa perlawanan timbal balik di Madrid pada awal pagi Rabu minggu depan.
Bayern mendahului jaringan di Allianz Arena melalui Joshua Kimmich, namun Marcelo menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat dan Asensio meletakkan Real di hadapan pada separuh masa kedua.
Walaupun Bayern mendominasi perlawanan dan mencipta dua kali lebih banyak peluang daripada Real, Madrid meraih kemenangan keenam berturut-turut, sejak tahun 2012, ke atas Bavarians dalam peringkat kalah mati di Liga Juara-Juara.
Sementara itu, Pengurus Real, Zinedine Zidane berkata pasukannya perlu mengambil iktibar daripada pertemuan dengan Juventus jika mahu menyingkirkan Bayern dalam aksi kedua separuh akhir, minggu depan.

Sebelum perlawanan juga Zidane membuat kejutan apabila menggugurkan Gareth Bale tetapi menegaskan beliau tidak memiliki masalah dengan bintang Wales itu.
“Saya mempunyai banyak pemain berkualiti di sini, dia sudah bermain dengan baik dan saya tahu saya boleh mengharapkan Gareth Bale seperti saya percayakan mereka yang juga tidak bermain,” kata Zidane.
Isco, yang digantikan oleh Asensio pada separuh masa kedua, dan Lucas Vazques beraksi bersama-sama Cristiano Ronaldo, yang kurang ‘tajam’ di depan penyokong Munich.
Pemain Portugal itu gagal menambah jaringannya ke-15 dalam Liga Juara-Juara musim ini, apabila dia didapati terperangkap ofsaid setelah merembat bola menembusi gawang Bayern. – AFP