BOURNEMOUTH, 15 APRIL – Antoine Semenyo menjaringkan gol seawal minit pertama untuk membantu Bournemouth menghidupkan semula harapan layak ke pertandingan peringkat Eropah selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas pencabar terdekat, Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.
Semenyo pantas mengambil peluang daripada kesilapan awal kapten Fulham, Antonee Robinson untuk menjaringkan gol ke-10 pada musim ini, sekali gus menghadiahkan kemena-ngan liga pertama kepada Bournemouth selepas tujuh perlawanan tanpa kemenangan.
Evanilson hampir menggandakan kedudukan tuan rumah apabila rembatannya terkena palang, sebelum skuad bimbingan Andoni Iraola kental bertahan untuk naik ke tangga kelapan – mengatasi Fulham dan Brighton menerusi perbezaan jaringan.
Ryan Sessegnon mensia-siakan peluang terbaik Fulham untuk menyamakan kedudukan apabila tandukannya terus ke arah Kepa Arrizabalaga pada separuh masa pertama.
Bournemouth sebelum ini hanya mengutip dua mata daripada 18 mata dalam kejatuhan prestasi dramatik sejak naik ke tangga kelima selepas menang 3-1 ke atas Southampton pada 15 Februari lalu. – AFP
